Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Integrasi Tarbawi

Integrasi Tarbawi

Saturday, 15 May 2010

Kontemplasi


Kontemplasi dari segi bahasanya bermaksud proses memikirkan sesuatu perkara secara mendalam. Kontemplasi juga boleh dikatakan sebagai proses penghayatan dan pemahaman diri atas realiti hidup dan kehidupan.Terdapat dua faktor utama yang berperanan dalam berkontemplasi iaitu akal dan hati. Akal berperanan menerima sesuatu perkara untuk mencari dan mengetahui hakikatnya. Hati pula merupakan kemahuan dan perasaan. Perasaan cinta, sayang, benci, dengki dan lain-lain berjalan dibawah petunjuk akal. Misalnya hati suka kepada kebaikan yang ditetapkan oleh akal serta membenci sesuatu keburukan yang telah ditetapkan atau digambarkan akal padanya.


Ibnu Khaldun mengatakan, “berfikir atau Fikr ialah gambaran bayang-bayang yang telah diindra – di balik perasaan - dan aplikasi akal di dalamnya untuk membuat analisis dan sintesis (proses menyatukan pelbagai unsur /cara untuk mencari prinsip yang umum daripada prinsip-prinsip yang khusus.)” – ( Muqaddimah Ibn Khaldun ) –

Menurut Imam al-Ghazali dalam kitabnya al-Ihya’ beliau mengatakan, “Ketahuilah, berfikir itu ialah menghadirkan dua makrifat (pengetahuan) di dalam hati, yang dari keduanya lahirlah pengetahuan yang ketiga.” – (Ihya Ulumuddin) –

Ibnu Mas’ud y pernah berkata,
“Hati itu mempunyai keinginan dan penumpuan, dan (adakalanya pula) ada kelesuan dan kelalaian, maka pergunakanlah ia ketika ia mempunyai keinginan dan penumpuan, dan jauhilah ia ketika ia lesu dan lalai.”

Indikator/Petanda Kontemplasi

Petanda adanya kontemplasi adalah wujudnya tampilan sejumlah pertanyaan dalam diri sebagai bahagian pertama pada setiap tindakan yang dilakukan. Terkadang petanda kontemplasi ini tidak kita temui dalam diri kita kerana kita seringkali mementingkan egoism, tidak mahu tahu, malas berfikir atau berperasaan sombong terhadap diri.


Tujuan Kontemplasi

Sepertimana ikhwah & akhawat ketahui bahawa akal dan hati merupakan dua faktor utama dalam kontemplasi yang daripadanya lahirlah pengetahuan hakikat dan penghayatan makrifat. Caroline Reynolds dalam bukunya “Spiritual Fitness” berkata, “suatu hari anda akan sampai pada satu kesedaran bahawa anda hanyalah sebuah proses kontemplasi yang sentiasa mencari dalam satu masalah sekaligus ke dalam sebuah penyelesaian. Sehingga pada akhirnya akan menemukan satu jawapan, iaitu kebenaran”

Bagi seorang muslim, kemuncak serta tujuan kontemplasi adalah tercapainya satu hakikat kebenaran yang membawanya kepada Makrifatullah yang tidak lain hanyalah sebuah pengakuan mutlak serta penghambaan secara total (Ubudiyyah) kepada Sang Pencipta.

Al-Imam as-Syahid Sayyid Qutb dalam mentafsir ayat 208-209 surah Al-Baqarah:

ياأيها الذين ءامنوا ادخلوا في السلم كآفة ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين *
فإن زللتم من بعد ما جاءتكم البينات فاعلموا أن الله عزيز حكيم *

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Beliau berkata :

“…Mereka hendaklah menyerah diri kepada Allah secara mutlak tanpa meninggalkan sesuatu yang sumbang sama ada berupa fikiran atan fikiran atan perasaan, niat atau tindakan, kegemaran atau ketakutan yang tidak tunduk kepada Allah dan tidak redha dengan ketetapan dan keputusan-Nya. Mereka hendaklah memberi keta’atan dan kepatuhan kepada Allah dengan penuh keyakinan dan kerelaan. Mereka hendaklah menyerah diri mereka kepada qudrat Ilahi yang memimpin langkah-langkah mereka dengan keyakinan bahawa Allah mahukan mereka mendapat kebaikan, pengajaran dan petunjuk, dan dengan keyakinan bahawa mereka sedang menuju ke jalan dan kesudahan yang baik dunia dan akhirat…

Kesan pertama yang dilimpahkan oleh kedamaian ini di dalam hati ialah kesahihan kefahaman dan kepercayaannya terhadap Allah, juga kejelasan dan kemudahan kefahaman dan kepercayaan itu sendiri bahawa Allah Tuhan Yang Maha Esa dan setiap Muslim hanya bertawajjuh kepada-Nya sahaja dengan hati yang teguh dan yakin. Hatinya bulat kepada Allah tanpa dikelirukan oleh berbagai-bagai kepercayaan yang lain. Ia tidak diburu oleh berbagai-bagai tuhan di sana sini seperti dalam kepercayaan-kepercayaan paganisme dan jahiliyah. Ia hanya bertuhan kepada Allah Yang Maha Esa sahaja dan hanya kepada Allah ia membulatkan hatinya dengan penuh keyakinan, ketenteraman, terang dan jelas…” (Fi Dzilalil Qur’an)

Firman Allah, “orang-orang yang mengingati Allah (Zikrullah) sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring sambil mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “wahai Tuhan kami, tidaklah engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka lindungilah kami dari azab neraka.” (Ali ‘Imran:191)

Proses Kontemplasi Menerusi Zikir & Fikir

Berdasarkan firman Allah jalla wa ‘ala ini dapat kita katakan bahawa seseorang yang ingin mendapatkan sesuatu hakikat atau ilmu perlulah menjalani proses zikir dan fikir. Sepertimana ikhwah dan akhawat ketahui bahawa kedua proses ini (Zikir & Fikir) berlaku dalam alam jiwa yang melibatkan hati dan akal yang juga merupakan dua faktor utama dalam proses kontemplasi.

Zikir iaitu dengan mengingati nama-nama serta sifat-sifat Allah akan menghasilkan hidayah yang merupakan petunjuk serta bimbingan Allah subhanahu wa ta’ala.
Begitu juga dengan proses berfikir, para ulama membahagikannya kepada dua, Pertama berfikir secara deductive (Istidlal) dan yang kedua ialah berfikir secara inductive (istiqra’). Berfikir secara deductive ialah proses berfikir dengan membuat rumusan berdasarkan pemerhatian secara umum. Manakala berfikir secara inductive ialah proses berfikir dengan membuat pemerhatian secara lebih khusus , juga termasuk didalamnya ujikaji atau eksperimen ke atas ciptaan Allah subhanahu wa ta’ala.

Impak daripada kombinasi zikir dan fikir kepada seorang muslim atau mu’min akan membawanya kepada satu proses kontemplasi serta pemahaman diri keatas hakikat ciptaan Allah yang membuatnya mengakui keagungan ciptaan Allah seraya bermunajat, “wahai Tuhan kami, tidaklah engkau menciptakan semua ini sia-sia. Maha Suci Engkau, maka lindungilah kami dari azab neraka.”

- ABU MUSLIM

Wallahu A’lam Bissowab.

Rujukan :

Majalah Tarbawi
Kamus Dewan Edisi Ke-3
المورد- د. روحي البعلبكي
في ظلال القرآن - الإمام الشهيد سيد قطب
رسالة المسترشدين - الإمام الحارث المحاسبى
من الفكر والقلب - د.محمد سعيد رمضان البوطي
التجديد في الفكر الإسلامى المعاصر– د.محمود عبد الله بكار
Tauhid (Menggilap kebebasan jiwa) - Jaafar Bin Muhammad

No comments:

Post a Comment