Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Integrasi Tarbawi

Integrasi Tarbawi

Thursday, 27 May 2010

Analisa Politik Yaman



Secara lazimnya kita lihat, politik di kebanyakan negara, perbincangan satu meja antara dua parti politik yang bertentangan adalah sukar diwujudkan. Kutuk-mengutuk antara parti yang berlawanan adalah perkara wajib, saling mendedahkan kelemahan lawan dalam setiap kempen politik mereka adalah senjata meraih sokongan rakyat, mewujudkan rasa benci dalam jiwa ahli parti terhadap individu tertentu sudah sebati dalam jiwa pemimpin politik serata dunia. Sebagai contoh, di Venezuela sentiasa berlaku adegan tumbuk-menumbuk dalam dewan setiap kali persidangan dewan.

Politik Yaman membuka satu sinar baru dalam memancarkan sinar kesyumulan Islam. Terdapat dua parti politik utama di Yaman: parti Muktamar (kerajaan) dan parti Islah (pembangkang). Parti Islah, yang diterajui fikrah Ikhwan Muslimin, yang dibangunkan oleh para ulama’ yang amat menjaga akhlak mereka, yang lembut dalam tutur katanya, yang amat menjaga hubungan sesama kawan dan lawan, menjadi contoh yang baik dalam cara berpolitik Islam yang sebenar.


Antara tokoh yang menerajui parti Islah ialah as-Syeikh Abdul Majid az-Zindani, Mursyidul-‘Am Parti Islah, seorang yang kita sedia maklum tentang ilmunya, akhlaknya, dan pengaruhnya. Beliau dan kepimpinan Islah yang lain mensasarkan matlamat utama politik mereka bukanlah pada mengumpulkan seramai mungkin rakyat Yaman menjadi ahli mereka dan mengundi mereka dalam pilihanraya agar kekuasaan dan tampuk pemerintahan Yaman di bawah kekuasaan mereka, itu bukanlah objektif mereka. Objektif mereka dapat dilihat dengan jelas melalui program-program yang dianjurkan Islah. Hampir semua program yang mereka jalankan adalah semata-mata untuk membina peribadi muslim dalam jiwa rakyat jelata dan menyampaikan fikrah Islam. Jika tiba musim cuti, bulan Ramadhan atau waktu tertentu yang wujud kelapangan padanya, parti Islah akan mengadakan program di masjid-masjid seperti kem musim panas, kem al-Qur’an dan bermacam-macam lagi program pembinaan diri.

Sebarang masalah yang timbul di Yaman akan dibincangkan oleh tokoh dari kedua-dua parti ini. Perbincangan seperti ini sudah tentu sangat asing bagi negara-negara lain. Keadaan ini dapat diwujudkan kerana pendekatan yang dibawa syeikh-syeikh Islah dalam bergaul dengan pemimpin parti Muktamar adalah pendekatan yang berhikmah dan berakhlak. Pemimpin bagi parti Muktamar ialah Presiden Republik Yaman `Ali Abdullah Soleh yang juga merupakan sahabat karib Syeikh Abdul Majid az-Zindani. Walaupun mereka berlainan parti, Syeikh Abdul Majid bebas menegur presiden jika ada sebarang kesalahan atau kesilapan dilakukan.

Kempen-kempen yang parti Islah adakan juga sangatlah berbeza dengan cara-cara kempen yang biasa didengari. Tiada risalah-risalah kempen yang mengutuk parti Muktamar dan merendah-rendahkan mereka. Pernah sekali, satu kelompok muda yang bersemangat telah membuat artikel kempen yang mengutuk parti Muktamar. Syeikh Abdul Majid dengan segera menegur mereka dengan teguran yang keras.

Begitu juga dalam ceramah kempen, tajuk dan topiknya bukanlah menceritakan kelebihan parti atau menawarkan sebarang faedah jika mengundi parti Islah, tetapi tajuknya adalah seperti tajuk ceramah biasa, mengajak manusia bertaqwa kepada Allah atau memperbaiki diri sendiri. Itulah ceramah kempen mereka.

Perkara yang paling mengagumkan ialah kerjasama antara dua parti ini dalam kebanyakan program kemasyarakatan. Sebagai contoh, jika parti Islah mengadakan program di masjid-masjid dan memerlukan dana kewangan, parti muktamar akan membantu. Contoh lain yang dapat dilihat, program Palestin anjuran parti Islah, ucapan dalam program itu disampaikan oleh presiden Yaman.

Itulah sedikit gambaran politik Yaman yang harmoni. Parti Islah amat mementingkan kefahaman disalurkan sebelum kekuasaan diperoleh, kerana apa, jika semua memperoleh satu kefahahaman yang sama tentang islam, mereka sendiri akan membuat satu keputusan yang betul. Dapat juga dilihat disini, kesungguhan para syeikh dalam dakwah mereka dan kesucian matlamat mereka, mereka kasihkan lawan mereka, fikrah Islamiah bukan hanya disalurkan pada pemikiran rakyat sahaja malah kepada pemimpin mereka.

Selepas melihat satu contoh yang amat baik ini, lazimlah untuk kita kembali bermuhasabah diri kita. Politik tanah air yang sentiasa panas dan bergelojak pasti akan tenang jika sedikit usaha mencontohi teladan yang baik ini dilakukan. Parti politik Malaysia juga sebahagiannya memiliki ulama’ yang menerajuinya, cuma disebabkan bilangan pemimpin yang kurang memahami Islam adalah majoriti, suara ulama’ ini tenggelam-timbul.

Harus dititik-beratkan pembinaan kefahaman individu sebelum ianya diberi kepercayaan memimpin, kerana setiap tindakan yang dia lakukan adalah gambaran pemikiran yang dimiliki oleh mereka. Oleh itu, pemikiran haruslah berlandaskan pemikiran yang satu, iaitu pemikiran yang dibawa oleh Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam.

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ (41

"Iaitu mereka(umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan untuk memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang dari melakukan kejahatan dan kemungkaran. Dan (ingatlah), bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.”
[al-Hajj: 41]

No comments:

Post a Comment