Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Integrasi Tarbawi

Integrasi Tarbawi

Monday, 13 December 2010

MAQASID SYARIAH


oleh: Ibnu Najeeb

Maqasid syariah islamiyah(tujuan, kehendak dan maksud syara’) adalah untuk memastikan kemaslahatan manusia serta mencegah kemudaratan di dunia dan di akhirat agar mereka mendapat kebahagiaan yang hakiki duniawi dan ukhrawi. Imam ibn al Qayyim di dalam kitab beliau I’lam al Muwaqi’in berkata;

“Syariah keseluruhannya adalah adil, keseluruhannya adalah rahmat, keseluruhannya adalah kemaslahatan dan keseluruhannya adalah hikmah”.


Terdapat lima perkara asas yang dijaga dan dipelihara oleh syara’ bagi kemaslahatan seseorang individu muslim iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Wasilah untuk memelihara kelima-lima perkara tersebut mempunyai tiga peringkat berdasarkan kepentingannya serta keperluannya, peringkat-peringkat ini dikenali dikalangan para ulama’ sebagai DHARURIYAT, HAJIYAT DAN TAHSINIYAT.

Apabila seseorang itu bertembung dengan dua maslahah, hendaklah dia memilih serta mendahulukan maslahah yang dharuriyat sebelum hajiyat dan hajiyat sebelum tahsiniyat. Oleh sebab itulah Islam mengharuskan seorang doktor melihat aurat ajnabi untuk merubati serta merawatnya kerana menutup aurat termasuk dalam perkara tahsiniyat dan merawat untuk menjaga nyawa termasuk dalam perkara dharuriyat.

Apabila dia bertembung pula dengan dua kemaslahatan yang berada di peringkat yang sama, perlulah didahulukan memelihara agama sebelum nyawa, nyawa sebelum akal, akal sebelum keturunan dan keturunan sebelum harta. Seseorang itu diancam bunuh jika tidak mahu meminum arak misalnya; Syara’ mengharuskan dia meminum arak ketika itu kerana memelihara nyawa lebih utama dari akal. Begitu juga dengan jihad melawan kuffar, disyariatkan jihad walaupun terpaksa mengorbankan nyawa kerana memelihara agama lebih penting dari memelihara nyawa.

Jika bertembung dua kemaslahatan di peringkat yang sama dan berkaitan dengan perkara yang sama; Contohnya maslahah memelihara nyawa, perkara yang perlu diutamakan adalah maslahah yang lebih umum(maslahah majoriti masyarakat) daripada maslahah yang khusus(maslahah individu). Oleh kerana itulah para sahabat bersepakat melarang Saidina Abu Bakar ra daripada bekerja serta berniaga setelah beliau dibai’ah sebagai khalifah, sebagai ganti beliau diberikan gaji daripada wang baitulmal. Ini kerana tugas sebagai khalifah untuk memastikan kemaslahatan umat Islam adalah lebih utama dari maslahah beliau dan keluarganya, jika beliau sibuk bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarganya maka sukarlah bagi beliau bertugas sebagai Amir al Mukminin.

Jika bertembung pula dua mafsadah (kemudharatan), hendaklah dia mengambil mudharat yang lebih ringan. Oleh yang demikian Allah swt membolehkan kita memakan bangkai jika keadaan terlalu terdesak dan tidak ada makanan yang lain kerana ia lebih ringan mudharatnya berbanding dengan hanya menunggu mati.


Manakala seseorang yang berhadapan di antara maslahah dan mafsadah, yang manakah harus diutamakan. Jika dia mengutamakan maslahah, dia tetap juga tidak mempu menghasilkan apa-apa maslahah kerana sesuatu maslahah itu tidak akan terhasil jika di sana masih ada mafsadah yang perlu dihadapinya. Apa yang harus dilakukan adalah dengan mengukur sejauh manakah kesan dan implikasi sesuatu maslahah atau mafsadah itu. Jikalau mafsadahnya lebih besar dan berat daripada maslahah, sewajarnyalah ditinggalkan maslahah dan begitulah sebaliknya.

Jika berlaku sesuatu bencana, dan mayat orang-orang islam bercampur aduk di antara mayat-mayat orang kafir serta sukar dibezakan yang mana muslim dan yang mana kafir. Para ulama’ mengatakan bahawa adalah menjadi kewajipan untuk memandikan dan mengkafankan kesemua mayat tersebut lalu disolatkan ke atas kesemua mereka beserta niatnya hanya untuk mayat yang muslim sahaja. Ini kerana menguruskan jenazah muslim merupakan fardhu kifayah. Kefardhuan tersebut hanya akan tertunai dengan menguruskan kesemua jenazah tersebut tanpa mengira muslim atau kafir kerana maslahahnya lebih besar dari mafsadah menguruskan sekali mayat orang-orang kafir.

Wasilah kepada sesuatu yang haram diharamkan dan wasilah kepada sesuatu yang wajib diwajibkan oleh syara’. Atau dalam erti kata yang lain, mendatangkan maslahah merupakan sesuatu yang dituntut, jadi segala usaha ke arah menghasilkan maslahah juga dituntut. Mafsadah pula diwajibkan agar dijauhi, maka segala perkara yang boleh mendatang mafsadah juga perlu dihindari walaupun pada asalnya ianya diharuskan bahkan dituntut. Contohnya; Islam mensyariatkan amar makruf dan nahi munkar, tetapi di dalam keadaan yang tertentu syara’ memerintahkan ianya ditinggalkan jika dengan mencegah sesuatu kemungkaran itu menyebabkan berlaku kemungkaran yang lebih besar dan mafsadah yang lebih dahsyat.

Tidak ada amalan di sisi Allah dianggap sebagai ianya sebaik-baik amalan secara mutlak. Bahkan ianya berbeza berdasarkan perbezaan zaman, tempat dan individu. Setiap waktu ada kewajipannya yang khusus, dan kewajipan tersebut merupakan sebaik-baik amalan pada waktu itu. Misalnya, sebaik-baik amalan sewaktu rumah kita dihadiri tetamu adalah melayani serta meraikan mereka daripada kita sibuk membaca al Quran ataupun berzikir. Sebaik-baik amalan bagi jemaah yang sedang berwukuf di Arafah adalah berdoa dan berzikir daripada berpuasa dan solat sunat.

Hukum taklifi di dalam syariat Islam adalah berperingkat-peringkat, setiap amalan yang dilakukan mempunyai keutamaannya di antara satu sama lain. Seperti yang sedia maklum, fardhu terbahagi kepada dua: Fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Tidak syak lagi bahawa fardhu ‘ain lebih diutamakan daripada fardhu kifayah. Manakala fardhu ‘ain yang berkaitan dengan hak orang ramai lebih aula daripada yang berkaitan dengan hak individu. Seperti sesebuah negara yang diserang musuh, jihad menjadi kewajipan ke atas semua orang berbanding menjaga dan mentaati ibu dan bapa mereka. Begitulah juga dengan perkara yang wajib, didahulukankan ke atas amalan yang sunat, dan sunat yang muakkad diutamakan dari yang sekadar mustahab.

Perkara yang diharamkan juga terbahagi kepada dua, dosa besar dan dosa kecil, perkara yang diharamkan dan perkara yang makruh serta maksiat hati dan maksiat jawarih (anggota badan). Imam al Ghazaly dan Imam Ibn al Qayyim mengatakan maksiat hati (seperti riya’, ujub, takbur dan seumpanya) lebih besar dosanya berbanding maksiat jawarih (seperti minum arak, berzina dan sebagainya).

Perkara-perkara yang telah dihuraikan ini, dikenali oleh para ulama’ sebagai feqh keutamaan atau feqh al aulawiyat (priority conception), untuk umat Islam menjalani hidup mereka dengan lebih sempurna. Adalah menjadi kewajipan kita sebagai mahasiswa pengajian Islam agar menekuni, mendalami dan menguasai ilmu ini ke arah melestarikan dakwah.

No comments:

Post a Comment