Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Integrasi Tarbawi

Integrasi Tarbawi

Saturday, 12 March 2011

Kisah pemuda dakwah


Apabila Allah bersumpah dengan makhluknya di dalam Al-Qur’an, ia menandakan setelah itu ada perkara yang sangat penting yang ingin Allah sampaikan kepada manusia. Antara surah yang Allah mulakan dengan sumpah adalah surah Al-Buruj. Surah ini terkandung kisah yang tidak kurang pentingnya dan begitu banyak pengajaran yang kita dapat ambil dan praktikkan dalam kehidupan seharian kita sebagai pendakwah. Kisah ini disebut dalam hadith sohih yang panjang riwayat Muslim:


كَانَ مَلِكٌ فِيْمَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ وَكَانَ لَهُ سَاحِر فَلَّمَا كَبِرَ قَالَ لِلْمَلِكِ إِنِّي قَدْ كَبِرْتُ فَابْعَثْ إِلَيَّ غُلاَمًا أُعَلِّمُهُ السِّحْرَ فَبَعَثَ إِلَيْهِ غُلَامًا يُعَلِّمُه


Maksudnya:

Di zaman sebelum kamu ada seorang raja yang mempunyai seorang ahli sihir. Apabila ahli sihir tersebut telah tua, dia berkata kepada raja: Usiaku telah lanjut, berilah kepadaku seorang budak untuk aku ajarkan kepadanya sihir. Maka diberikan kepadanya seorang budak untuk diajarkannya ilmu sihir.”


Hadith ini telah menceritakan sebuah kisah tanpa menyatakan nama, tempat, dan masa peristiwa tersebut berlaku. Hal ini agar pengajaran daripada kisah ini kekal dan tidak terbatas kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Moga kita dapat banyak faedah daripada kisah ini, insyaallah.


Permulaan hadith “Di zaman sebelum kamu” menunjukkan bahawa dalam kita menyusuri jalan dakwah, sangat penting untuk kita mengaitkan atau menghubungkan antara realiti sekarang dengan pengalaman dakwah golongan-golongan yang terdahulu. Ini kerana banyak perkara yang boleh kita ambil dari tindakan-tindakan orang yang lebih awal dari kita dalam menyusuri jalan dakwah ini. Tujuan kita dalam dakwah tidak pernah berbeza dari dahulu hingga sekarang, dan ia tidak akan berubah pada masa yang akan datang. Maka, golongan yang menentang dakwah kita tidak akan berbeza sebab penentangan mereka terhadap dakwah ini. Seharusnya, dengan mengambil pengajaran dari kisah-kisah orang terdahulu dapat membantu kita terus teguh melalui jalan yang penuh berliku ini.


Melihatkan kepada realiti pada zaman tersebut, ia menunjukkan bahawa ketika itu sistem pemerintahan adalah dalam keadaan yang gelap dan rosak. Ia jelas menampakkan bahawa hukum hawa nafsu telah dijadikan sebagai ikutan dan pegangan. Malah raja tersebut mendakwa dirinya adalah tuhan dan menggunakan sihir untuk mendapat kepercayaan rakyatnya. Namun, sesuai dengan peredaran masa, ahli sihir tersebut semakin tua dan perlu mencari pengganti atau pelapis bagi mewarisi ilmu sihir. Ini untuk memastikan tampuk kerajaan raja tersebut terus kekal seperti yang mereka kehendaki.


Dalam riwayat yang lain oleh Tarmizi menyebutkan:


أُنْظُرُوْا لِي غُلاَمًا فَهِمًا أَوْ قَالَ فَطِنًا لَقِنًا


Maksudnya:

Carilah untukku seorang budak yang mudah memahami atau dia berkata: yang cerdik dan cepat faham


Dalam memikul tanggungjawab yang tertentu, ia memerlukan keperibadian dan kelayakan tertentu. Itulah seperti yang diminta oleh tukang sihir tersebut kepada raja agar tugas tersebut boleh dipikul dengan sempurna setelah kematian ahli sihir tersebut. Hakikatnya, pengkhususan sangat menguntungkan kenderaan dakwah kita. Setiap tugasan-tugasan yang perlu dipikul pada setiap lapisan tugas dakwah perlu dipikul oleh orang yang benar-benar layak sahaja. Jika tidak, setiap tanggungjawab tidak mampu dipikul dengan sempurna dan akhirnya memberi kesan kepada dakwah itu sendiri.


Pengajaran yang boleh di ambil:


Orang yang menentang Islam sentiasa memikirkan cara-cara untuk membantutkan penyebaran Islam. Mereka akan memastikan usaha mereka tidak akan berhenti dan terus diwarisi oleh generasi-generasi setelah mereka agar Islam tidak mempu untuk bangun. Persoalannya, dimanakah orang-orang Islam pada masa sekarang? Siapakah yang akan mengejutkan orang-orang Islam yang sedang leka dan lena dalam nikmat dunia yang tidak seberapa ini?


Golongan pemuda merupakan golongan yang mampu membawa perubahan kepada umat ini. Mereka merupakan golongan yang mempunyai semangat dan tenaga yang tinggi. Dengan kelebihan ini, mereka mampu mengubah setiap kemungkaran yang berlaku.


Dakwah ini sentiasa memerlukan pelapis dan pewaris keran jalan ini bukan jalan yang pendek malah ia merupakan jalan yang sangat panjang yang memerlukan banyak generasi untuk mencapai objektif dakwah kita. Oleh itu, tidak cukup sahaja kita mengajak orang berbuat baik dan meninggalkan kemaksiatan, malah kita perlu mengajak orang untuk bersama-sama dengan kita dalm menyeru kepada kebaikan dan meninggalkan kemaksiatan.

No comments:

Post a Comment