Revolusi di Tunisia bermula dengan darah. Bagaimana seorang peniaga bergerabak, Mohamed Bouazizi membakar dirinya di hadapan persemayaman bekas presidennya.
Revolusi di Mesir pada mulanya dibalas darah kemudian pihak tentera berpihak bersama rakyat dan menyaksikan suatu revolusi aman paling berjaya setakat ini. Hosni Mubarak meletakkan jawatan, kerajaan sementara didirikan, dan pilihanraya akan diadakan beberapa bulan lagi.
Revolusi di Bahrain tidak mendapat liputan meluas. Liputan yang sangat terhad. Meski negara-negara Arab lain menghantar tentera mereka seolah masalah besar, namun liputan masih terhad. Darah mereka yang mengucapkan tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah yang tidak berdosa tetap ditumpahkan.
Revolusi di Libya, menyaksikan seorang pemimpin korup yang paling keras kepala. Rakyat dibiarkan mengambil senjata-senjata api dari berek-berek angkatan keselamatan. Peperangan meletus. Amerika Syarikat masuk campur. Terbentuk Iraq kedua.
Hasbuna Allahu wa ni’mal wakeel!
Revolusi di Yaman mengambil masa yang sangat lama. Sejak kejatuhan Zine el Abidin bin Ali di Tunisia, rakyat mula berdemonstrasi, tujuan menjatuhkan salah seorang presiden yang sangat lama memerintah. 33 tahun. Rakyat tetap dengan revolusi aman. Sehingga kini belum selesai.
أتاكم أهل اليمن هم أرق أفئدة وألين قلوبا الإيمان يمان والحكمة يمانية
(متفق عليه)
“Telah datang kepada kamu Ahli Yaman, mereka berhati paling nipis, dan berjantung paling lembut, Iman itu Yamani, dan Hikmah itu Yamaniah” (al-Bukhari dan Muslim)
Pengkhabar wahyu sallAllahu’alayhi wa sallam memberitahu kita kewujudan satu golongan yang berjantung hati lembut, sehingga Iman dinisbahkan kepada mereka, dan hikmah juga dinisbahkan kepada mereka.
Satu-satunya subjek yang diajar di satu-satunya universiti di dunia, al Iman, terdapat di sana.
Orang Yaman bersalaman dengan penuh hangat, bertanya khabar, tangan digenggam erat sambil wajah yang ceria gembira. Anas radhiAllahu’anhu berkata, “merekalah orang yang pertama bersalaman pada zaman Nabi sallAllahu’alayhi wa sallam.” (Abu Daud)
Melihatkan kebaikan bersalam inilah, Rasulullah sallAllahu’alayhi wa sallam berkata,
ما من مسلمين يلتقيان فيتصافحان إلا غفر لهما قبل أن يتفرقا (أبو داود والترمذي وابن ماجه وأحمد)
“Tidaklah dua orang Muslim bertemu dan bersalaman kecuali diampunkan mereka selagi tidak berpisah.” (Abu Daud, at Turmuzi, Ibn Majah, dan Ahmad)
Yaman antara negara-negara yang tidak pernah dijajah. Walaupun sesetengah kawasan seperti Aden dijajah oleh British dan beberapa kawasan lain pernah dijajah oleh Habsyah (Ethiopia) suatu ketika dahulu, namun umumnya, Yaman tidak pernah dijajah.
Sejarah ini menyebabkan orang-orang Yaman mempunyai jati diri tersendiri, berbangga dengannya, mengekalkan tradisi asal secara meluas, dan yang paling penting, BEBAS BERSENJATA.
Purata seorang rakyat mempunyai 2 pucuk senjata api.
Terdapat suku puak yang mempunyai kereta kebal dan jet pejuang!
Percubaan demi percubaan provokasi untuk menggagalkan revolusi aman Yaman ini, dengan mula melempar batu, menembak curi, menembak jauh, dan terbaru, menembak tepat dari bumbung bangunan.
Namun begitu, orang Yaman yang lembut dan berhikmah ini tetap kekal berdemonstrasi secara aman.
Media memainkan peranan yang penting. Saluran televisyen Yaman seperti al Yaman dan Saba’ cuba menunjukkan bahawa para demonstran adalah orang yang ganas, merosakkan harta benda awam, namun mereka yang berakal pasti akan terfikir, “mengapa melempar batu sedangkan mereka bebas bersenjata??”
Al Jazeera masih memaparkan siapa yang menzalimi siapa yang dizalimi. Begitu juga Suhail TV.
Inilah yang memeningkan kepala. Namun jawapannya ada pada hadith Nabi sallAllahu’alayhi wa sallam tadi, mereka berjantung hati PALING lembut dan berhikmah.
Perlu diingat di sana ada tafsiran lain bagi perkataan ‘ahli Yaman.’ Bukan itu perbincangannya. Siapa pun yang ditafsirkan selagi mana dia berpegang dengan al Qur’an dan as Sunnah yang sahih, maka dialah orangnya.
Zaman Mulkan Jabriyyan menjelang ajal! (rujuk: hadith riwayat al Imam Ahmad)