Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Integrasi Tarbawi

Integrasi Tarbawi

Wednesday, 8 December 2010

Istiqomah

oleh: NUH

Daripada Abi Amr dan telah berkata: Abi Umrah, Sufian bin Abdullah As-thaqofi radhiallahu’anhu telah berkata: aku telah berkata: Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku perkataan dalam Islam yang tidak saya soal tentangnya kepada selain darimu. Nabi Muhammad telah berkata: Katakanlah aku telah beriman kepada Allah kemudian istiqomahlah” Riwayat Muslim


Hadith riwayat Muslim ini mengaitkan antara istiqomah dan keimanan. Timbul persoalan, apakah kepentingan istiqomah sehingga ia dikaitkan dengan keimanan kepada Allah? Mari kita lihat dahulu apakah yang dimaksudkan dengan istiqomah.



Makna istiqomah dalam hadith ini diambil dari firman Allah ta’ala:


Sesungguhnya orang-orang Yang menegaskan keyakinannya Dengan berkata: “Tuhan Kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh(istiqomah) di atas jalan Yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.


Daripada ayat Qur’an tersebut makna istiqomah adalah istiqomah atau tetap atas tauhid yang lengkap dan menyeluruh. Tidak dinafikan, istiqomah adalah suatu komponen yang penting dalam keimanan seseorang hamba Allah. Ia membawa kita kepada tetap dan berterusan berada di atas jalan-Nya yang lurus. Jika kita tidak mampu beristiqomah pada jalan-Nya, sudah tentu kita terkeluar dari jalan yang lurus. Moga Allah berikan istiqomah kepada kita semua.


Oleh itu, istiqomah adalah suatu perkara penting yang perlu ada dalam diri setiap muslim sepertimana ia juga merupakan perintah Allah terhadap Nabi Muhammad dan para pengikutnya dalam firman Allah:


Oleh itu, hendaklah Engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan Yang betul sebagaimana Yang diperintahkan kepadaMu, dan hendaklah orang-orang Yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa Yang kamu kerjakan.


Ayat Qur’an ini merupakan perintah Allah kepada Nabi Muhammad dan para sahabat agar beristiqomah serta tidak melampaui batas-batas yang telah diletakkan. Arahan secara langsung ini kepada Nabi Muhammad menunjukkan betapa pentingnya istiqomah dalam kehidupan seorang muslim.


Malahan ia tidak sekadar cukup difahami istiqomah hanya dalam kontek ibadah-ibadah fadhu mahupun yang sunat,tetapi dalam urusan-urusan yang lain yang lebih luas dan menyeluruh dengan mempraktikkannya dalam segenap segi perbuatan kita.


Rintangan-rintangan istiqomah


1) Lemah iman
Lemahnya iman seseorang banyak menyumbang kepada kurangnya istiqomah seseorang dalam ketaatan kepada Allah. Ia bermula dengan berlakunya ketirisan dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah dan kemudian ia membarah kepada terus meninggalkan sesuatu ketaatan tersebut. Apabila lemahnya keimanan seseorang, ia adalah kunci kepada segala kemaksiatan dan kealpaan. Jika tidak dirawat, ia akan terus merebak dan makin susah untuk merawatnya.


2) Banyak maksiat dan lupa untuk bertaubat

Setiap manusia pasti tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan. Namun, kesilapan manusia yang paling besar adalah tidak bersegera untuk bertaubat kepada Allah walhal pintu taubat telah dibuka selauas-luasnya. Tidak bertaubat atas segala kesalahan kita juga menunjukkan kurangnya muhasabah diri dalam setiap tindakan kita dan akhirnya setiap tindakan yang telah kita lakukan tidak Berjaya kita terjemahkan kepada perbuatan yang berterusan pada masa hadapan.


3) Lupa mati dan akhirat

Lupa pada hakikat kematian dan akhirat adalah hasil kepada lemahnya keimanan seseorang. Lupa bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan kehidupan yang sebenar adalah selepas mati akan menyebabkan seseorang tidak berasa sabar terhadap segala rintangan yang dihadapinya dalam mengharapkan keredhaan Allah.


4) Tidak ada nasihat menasihati apabila sudah melampaui had-had agama

Nasihat menasihati menjamin sesorang individu atau sesebuah organisasi terus melangkah kehadapan. Namun, ketiadaan budaya nasihat menasihati akan membawa kepada kemunduran dan kejumudan dalam setiap segenap kehidupan kita.


Bagaimana melawan rintangan-rintangan tersebut


1) Niat kerana Allah sahaja
Ikhlas dalam segala amalan adalah asas kepada penerimaan segala amalan. Niat kerana manusia akan menyebaban kita tidak istiqomah apabila seseorang itu tidak ada. Niat kerana manfaat sesuatu perkara juga tidak menjamin kepada istiqomah apabila manfaat tersebut hilang. Niat kerana Allahlah membawa kepada istiqomah dalam setiap amalan kerana Allah itu Maha Mengetahui setiap apa yang dikerjakan oleh setiap orang, secara sembunyi mahupun tidak.


2) Beramal di jalan Allah

Sesuatu kebaikan tidak akan sekali-kali bercampur dengan keburukan. Apabila kita beramal di jalan Allah, pada masa tersebut kita telah menutup pintu-pintu untuk berbuat kejahatan. Ia secara tidak langsung membawa kepada istiqomah dalam ketaatan kepada Allah


3) Tidak melakukan perkara-perkara yag melampaui had-had agama

Apabila kita sentiasa menjaga batasan-batasan kita dalam setiap perbuatan, kita susah untuk jatuh dalam kemaksiatan kepada Allah. Ia bukan perkara yang cukup dilaksanakan secara individu, tetapi ia merupakan suatu perbuatan yang kolektif kerana hakikat manusia mudah jatuh kepada kemaksiatan tanpa disedarinya tetapi orang disekeliling kita mudah melihat kepada kemaksiatan yang dilakukan oleh kita.


4) Sabar

Tiada perkara ketaatan yang tidak ada rintangannya kerana syaitan dengan segala kemampuannya akan berusaha untuk menjauhkan manusia dari ketaatan kepada Allah. Oleh itu, sabar dalam menghadapi segala ujian adalah suatu benteng yang utuh bagi setiap muslim yang mengharapkan istiqomah dalam segala amalannya.


Moga kita diberi keistiqomahan dalam segala perkara. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment