Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Integrasi Tarbawi

Integrasi Tarbawi

Saturday, 4 December 2010

Berulangnya Tsunami Satu Peringatan


Gelombang Tsunami di Mentawai,letupan dari gunung Merapi,dan banjir yang melanda Malaysia terutamanya di Kedah,Kelantan dan Perlis sebenarnya adalah peringatan dari Allah,setelah manusia melupakan Allah yang tanpa izin-Nya,manusia tak akan mampu menghirup udara yang disedut hembus setiap hari.Manusia lupa untuk mengambil pengajaran dari Tsunami yang lepas.Benarlah bahawa manusia mudah lupa!.



Tsunami (津波) berasal dari bahasa Jepun yang bermaksud ombak besar di pelabuhan, sering kali disalah takrifkan sebagai gelombang pasang surut (tidal wave), merupakan satu siri ombak yang berlaku selepas gempa bumi (dalam laut), tanah runtuh, aktiviti gunung berapi, letupan, atau hentaman meteor dalam atau berhampiran laut. Tenaga setiap tsunami adalah tetap, fungsi ketinggiannya dan kelajuannya. Dengan itu, apabila gelombang menghampiri pantai, ketinggiannya meningkat sementara kelajuannya menurun. Gelombang tersebut bergerak pada kelajuan tinggi, hampir tidak disedari apabila melintasi air dalam, tetapi meningkat kepada ketinggian 30 meter atau lebih. Tsunami boleh menyebabkan kerosakan teruk pada kawasan persisiran pantai dan kepulauan.


Itulah serba sedikit pengenalan dari Wikipedia tentang Tsunami yang berlaku lagi baru-baru ini di Mentawai,Indonesia. Kejadian tsunami tersebut berlaku akibat gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan berlaku 20 kilometer di bawah dasar laut.


Sudah pasti bencana Tsunami ini membuatkan kita mengimbas kembali kepada peristiwa taufan dan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salam. Jika dicampurkan jumlah korban manusia pada Tsunami yang dulu dan sekarang, mungkin ia sama dengan jumlah mereka yang ditenggelamkan oleh banjir di zaman Nuh Alayhi as-Salam. Ia adalah banjir yang meliputi keseluruhan muka bumi dan pengetahuan manusia tentang pernahnya berlaku banjir besar itu, diiktiraf oleh semua tamadun manusia.


Maka amat wajar sekali kisah di zaman Nabi Nuh 'Alaihi as-Salam itu dijadikan iktibar. Ini kerana, Allah SWT mengekalkan ingatan umat manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat manusia, mukmin dan kafir. Firman Allah SWT di dalam surah al-Haaqqah ayat (11-12):


“Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran”


Jika diteliti beberapa potongan ayat al-Quran tentang bencana di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salam, ia tidaklah jauh berbeza dengan bencana Tsunami 26 Disember 2004 dan yang apa yang berlaku di Mentawai baru-baru ini. Cuma mungkin berbeza dari segi skalanya sahaja kerana Tsunami yang Allah SWT datangkan kepada kita hanya menelan manusia di sebahagian daratan sahaja, tidak segenap pelusuk bumi.


Bahkan ombak besar yang melanda bencana di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salam itu juga lebih hebat dari Tsunami tempoh hari. Ia digambarkan seperti gunung oleh Surah Hud ayat (42 – 43):


“Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.


Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. “


MENGAMBIL IKTIBAR


Namun bagi kita hari ini, bagaimanakah sepatutnya kita mengambil pengiktibaran daripada bencana Tsunami tempoh hari? Atau buat-buat tak tahu kerana ia tak berlaku pun di negara kita,Malaysia? Ataupun kerana ia tidak berlaku di tempat kita menimba ilmu ini,di Sana'a?


Sebenarnya Allah masih mengizinkan kita untuk bermuhasabah dan tidak membinasakan kita semua dengan suatu bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata. Firman Allah SWT:


“Dan takutlah kamu kepada bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata dari kalangan kamu secara khusus” (Al-Anfaal: 25)


Ataupun kita mahu menunggu sehingga bumi Malaysia dipenuhi dengan gelimpangan mayat seperti di Acheh dan Merapi baru mahu tersentak dari kelaghaan selama ini?.Bukankah kita sebenarnya sudah terlalu jauh pergi meninggalkan sifat diri sebagai hamba Tuhan?


” Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi.” (Al-A’raaf 98-99)

No comments:

Post a Comment