Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Integrasi Tarbawi

Integrasi Tarbawi

Thursday, 27 May 2010

Uthman bin Affan


Nama sebenar beliau ialah Uthman bin Affan bin Abi Al-‘As bin Umayyah bin Abd Syams bin Abdil Manaf dan beliau radhiAllahu ‘anhu merupakan dari qabilah Quraisy Umawi. Keturunannya bersambung dengan keturunan Nabi sallAllahu ‘alayhi wasallam pada Abdul Manaf. Manakala ibunya bernama Arwa binti Kariz bin Rabi’ah bin Habib bin Abd Syams bin Abdil Manaf. Beliau dilahirkan di Thaif 6 tahun selepas Tahun Gajah (576 M).

Uthman radhiAllahu ‘anhu dikenali dengan kuniyahnya iaitu Abu Abdillah dan Abu Amru kerana anak sulungnya bersama Ruqaiyah binti Rasulillah sallAllahu ‘alayhi wasallam yang bernama Abdullah. Beliau juga diberi gelaran (Zunnurain) yang bermaksud pemilik 2 cahaya. Ini kerana beliau mengahwini 2 puteri Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam iaitu Ruqaiyah dan Ummu Kalthum. Tiada orang yang pernah mengahwini 2 orang puteri Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam selain Uthman radhiAllahu ‘anhu.

Uthman terkenal dengan sifatnya yang sangat pemalu sehinggakan sautu ketika Aisyah radhiAllahu ‘anha pernah bertanya kepada Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam tentang sikap baginda sallAllahu ‘alayhi wasallam yang kelihatan berbeza semasa bergaul dengan Abu Bakar dan Umar berbanding Uthman. Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam berkata kepada Aisyah radhiAllahu ‘anha, “tidakkah kamu malu dengan lelaki yang malaikat sangat malu dengannya?”

Uthman radhiAllahu ‘anhu telah memeluk Islam di tangan Abu Bakar as-Siddiq radhiAllahu ‘anhu pada permulaan Islam sebelum Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam mengadakan dakwahnya di rumah al-Arqam. Umurnya ketika keislamannya sudah melebihi 30 tahun.

Kisah keislamannya adalah suatu ketika Abu Bakar radhiAllahu ‘anhu berkata padanya, “wahai Uthman, demi Allah engkau adalah lelaki yang kuat azamnya. Tidak akan tersembunyi dari kau yang Haq dari yang Batil. Berhala-berhala yang disembah kaummu ini, bukankah ianya hanya batu yang bisu, tidak mendengar, tidak melihat, tidak memudharatkan dan tidak memberi manfaat?” Uthman menjawab, “bahkan benar ianya begitu.” Abu Bakar menyambung, “ ini adalah Muhamad bin Abdillah dan Allah telah mengutusnya dengan risalah-Nya untuk seluruh makhluq-Nya. Mahukah kau datang padanya (Rasulullah) dan mendengar darinya?” Uthman menjawab, “ya.” Dengan Hidayah dan Inayah Allah beliau merelakan sepenuh hati untuk memeluk agama Islam.
Selepas kewafatan Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam Uthman merupakan Khalifah ar-Rasyid yang ketiga selepas Abu Bakar radhiAllahu ‘anhu dan beliau juga salah seorang dari 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Antara kelebihannya ialah tilawah al-Qur’an. Beliau sering menghidupkan malamnya dengan membaca al-Qur’an dalam solat malamnya.

Suatu ketika di Madinah, Kaum Muslimin kekurangan air minuman dan ketika itu kebanyakkan orang ramai mendapatkan air di telaga Rummah. Telaga itu kepunyaan Yahudi. Bayaran akan dikenakan kepada mereka yang inginkan air darinya. Maka, Uthman telah membeli telaga itu dengan 20 ribu dirham dan menginfakkan kepada Muslimin.

Pada zaman Baginda sallAllahu ‘alayhi wasallam Uthman radhiAllahu ‘anhu telah dihantar ke Makkah untuk memberitahu hajat Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam dan kaum muslimin untuk mengerjakan umrah, bukan untuk memerangi kafir Quraisy. Walaupun pada ketika itu tugas ini sangat berbahaya namun Uthman tetap taat pada Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam. Lantaran itu Uthman telah dipenjarakan oleh puak kafir Quraisy dan berita palsu tentang kematiannya disebarkan.

Perang Tabuk dikenali sebagai satu peperangan yang sangat susah pada ketika itu kerana berlaku pada musim panas di samping mengalami kekurangan perbelanjaan. Lantaran itu Uthman radhiAllahu ‘anhu dengan sikap murah hatinya telah menginfaqkan sebanyak 950 unta dan 50 kuda untuk tentera Muslimin. Ibnu Ishak berkata, “sumbangan Uthman radhiAllahu ‘anhu terhadap tentera-tentera itu adalah infaq yang sangat hebat. Tiada siapa yang menginfakkan sepertinya. Bertepatan dengan sabda baginda Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam, “siapa yang menyediakan kelengkapan tentera peperangan sukar (Tabuk), baginya syurga.”

Ketika zaman pemerintahannya sebagai Khalifah ke-3, berlaku keadaan di mana umat Islam seluruhnya dari tempat yang berlainan berselisih tentang bacaan mashaf, diantara mereka menganggap bacaannyalah yang benar sehingga hampir berlaku pertumpahan darah. Maka, Uthman radhiAllahu ‘anhu mengambil langkah mengarahkan supaya dikumpulkan semua mashaf. dan mengarahkan supaya dihapuskan semuanya dan mengekalkan lisan Quraisy sahaja kerana ianya diturunkan dengan lisan Quraisy. Oleh kerana itu ianya dinamakan Mashaf Rasm Uthmani yang kita gunakannya sekarang.

Anas radhiAllahu ‘anhu berkata, “ ketika mana Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam berada di atas bukit Uhud bersama-samanya Abu Bakar, Umar dan Uthman radhiAllahu ‘anhu, bergegar bukit Uhud ketika itu, lalu Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam menghentak kakinya seraya berkata, “tetaplah wahai Uhud!! Sesungguhnya di atas kamu terdapat Nabi (Rasulullah sallAllahu ‘alayhi wasallam), as-Siddiq (Abu Bakar) dan dua orang Shahid (Uthman dan Umar radhiAllahu ‘anhum).

Di akhir hayatnya, berlaku peristiwa yang menyedihkan iaitu pengepungan puak Khawarij Saba’iun atas rumah kediaman beliau di Madinah yang berlanjutan selama 40 hari, Saidina Uthman radhiAllahu ‘anhu dibunuh di rumahnya selepas Asar dalam kedaan beliau berpuasa dan sedang duduk membaca al-Quran, peristiwa itu bertepatan pada hari Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah (656 Masihi), umur beliau ketika sekitar 83 tahun, berakhir pemerintahannya selama 12 tahun kurang 12 belas hari. Jasadnya disemadikan di tanah Baqi’.

No comments:

Post a Comment