Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Integrasi Tarbawi

Integrasi Tarbawi

Friday, 29 October 2010

TANGGUNGJAWAB BERDAKWAH

Pada masa kini, dunia diperlihatkan dengan kemungkaran yang sangat teruk dalam sejarah manusia. Tugas berdakwah menjadi suatu keutamaan yang paling utama kepada semua manusia yang beriman untuk melepaskan manusia daripada fitnah-fitnah dunia yang menggerunkan. Namun, dalam keghairahan pendakwah melaksanakan dakwah, pendakwah tidak harus lupa kaedah-kaedah atau asas-asas dalam berdakwah agar usaha dakwah lebih efisyen dan sampai kepada matlamat yang dituju.

Kaedah atau asas dakwah yang menyimpang pula akan membawa kepada dakwah yang pendek nafasnya serta pendakwah yang mudah letih dan futur dalam melaksanakan dakwah. Malah, lebih teruk lagi, dakwah ini membawa kepada kehancuran sebuah gerakan dakwah dan ketidakcapaian matlamat dakwah yang sebenar. Mungkin dalam sesetengah keadaan, secara luarannya dakwah tersebut hampir mencapai matlamat, tetapi sebenarnya dakwah tersebut telah menyimpang jauh daripada matlamat yang sebenar.

Berdakwah menuju jalan Allah

Allah berfirman:

“Wahai Nabi! Sesungguhnya Kami mengutusmu untuk menjadi saksi, pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan. dan menjadi penyeru kepada (agama) Allah dengan izin-Nya dan sebagai cahaya yang menerangi”(al-Ahzab: 45-46)


Seruan yang hanya kepada Islam dan bukan kepada perkara-perkara lain, adalah asas yang paling penting dalam berdakwah. Apa-apa seruan selain kepada jalan Allah, akan membawa kepada campur aduknya niat dalam berdakwah. Sesetengah manusia menggunakan dakwah sebagai platform mendapat keuntungan dalam perniagaan. Malah, sesetengah golongan menggunakan dakwah dalam memastikan kedudukannya tidak terancam.

Namun, dakwah yang sebenar yang kita kenali adalah dakwah yang tidak lekang dari cubaan yang datang dari segenap sudut. Malah, dakwah begini memerlukan pengorbanan harta dan diri kita sendiri dalam memastikan dakwah kita sampai kepada semua orang, bukan kita mendapat harta atau pangkat hasil dari usaha dakwah.

Tugas pendakwah hanyalah menyampaikan manakala hidayah adalah urusan Allah semata-mata



Seringkali kita terdengar, pendakwah mengeluh akibat susahnya mengajak manusia kepada kebenaran. Bukan sahaja mereka tidak mahu menerima, malah menentang pula dengan segala kemampuan yang mereka ada dalam memastikan usaha dakwah terhenti. Namun itu adalah sunnah kepada jalan dakwah yang kita lalui. Seperti mana tugas para rasul, tugas kita hanyalah menyampaikan dan Allahlah yang menentukan siapa daripada manusia yang layak menerima hidayah-Nya.

Allah berfirman:

“Bukanlah kewajipanmu (wahai Muhammad) menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allahlah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” (al-Baqarah: 272)


Oleh itu, kebergantungan kita dalam dakwah hanyalah kepada Allah semata-mata. Hatta dengan harta yang menggunung atau keperibadian yang sangat menawan, tidak akan mampu menjadikan golongan yang diseru menerima dakwah kita tanpa izin dari Allah. Namun, kepergantungan kepada Allah semata-mata dalam tugas-tugas dakwah tidak sempurna kecuali dengan kita berusaha menyampaikannya dengan bantuan apa yang kita ada dari segi harta dan kekuatan peribadi sebagai seorang da’ie.


Pendakwah pergi kepada mad’u, bukan mad’u datang kepada pendakwah

Tidak dinafikan ceramah, nadwah, program-program islamik, dan program-program lain yang mengumpulkan orang ramai adalah salah satu cara dalam menarik orang ramai kepada dakwah yang kita bawa. Namun, sifat pendakwah yang aktif ialah tidak hanya duduk menunggu orang untuk datang kepadanya, tetapi bertindak untuk pergi kepada golongan yang ingin didakwah dalam bentuk dakwah fardiyyah, ziarah, dan cara-cara lain yang efektif.

Peristiwa Nabi Muhammad SAW pergi ke Thoif cukup mengajar kita bahawa Nabi Muhammad SAW tidak pernah menunggu di Mekah dan mengharapkan orang datang kepadanya. Tetapi, beliau sendiri mengambil inisiatif dalam memastikan dakwahnya sampai kepada semua golongan.

Oleh itu, pendakwah yang statik dan tidak berkembang, tidak akan berusaha untuk memikirkan strategi-strategi dalam meladeni mad’u tetapi hanya mengharapkan keajaiban supaya mad’u datang kepadanya. Akhirnya, ia akan membawa kepada futur dan tidak yakin pada kemampuan diri sendiri dalam menarik orang kepada dakwah.

Kesimpulannya, banyak perkara yang kita sebagai pendakwah mengambil mudah dan enteng dalam berdakwah. Secara tidak sedar kita banyak melakukan kesalahan-kesalahan yang membataskan pergerakan dan kreativiti kita dalam menyampaikan dakwah kepada orang lain. Oleh itu, mari kita bersama-sama sentiasa memperbaharui niat kita dan saling tegur menegur dalam melalui jalan dakwah ini kerana teguran akan mengembalikan dakwah kita ke jalan yang benar sekiranya terpesong. Wallahua’lam. -nuh

No comments:

Post a Comment