Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Integrasi Tarbawi

Integrasi Tarbawi

Wednesday, 8 December 2010

Istiqomah

oleh: NUH

Daripada Abi Amr dan telah berkata: Abi Umrah, Sufian bin Abdullah As-thaqofi radhiallahu’anhu telah berkata: aku telah berkata: Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku perkataan dalam Islam yang tidak saya soal tentangnya kepada selain darimu. Nabi Muhammad telah berkata: Katakanlah aku telah beriman kepada Allah kemudian istiqomahlah” Riwayat Muslim


Hadith riwayat Muslim ini mengaitkan antara istiqomah dan keimanan. Timbul persoalan, apakah kepentingan istiqomah sehingga ia dikaitkan dengan keimanan kepada Allah? Mari kita lihat dahulu apakah yang dimaksudkan dengan istiqomah.



Makna istiqomah dalam hadith ini diambil dari firman Allah ta’ala:


Sesungguhnya orang-orang Yang menegaskan keyakinannya Dengan berkata: “Tuhan Kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh(istiqomah) di atas jalan Yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu Yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.


Daripada ayat Qur’an tersebut makna istiqomah adalah istiqomah atau tetap atas tauhid yang lengkap dan menyeluruh. Tidak dinafikan, istiqomah adalah suatu komponen yang penting dalam keimanan seseorang hamba Allah. Ia membawa kita kepada tetap dan berterusan berada di atas jalan-Nya yang lurus. Jika kita tidak mampu beristiqomah pada jalan-Nya, sudah tentu kita terkeluar dari jalan yang lurus. Moga Allah berikan istiqomah kepada kita semua.


Oleh itu, istiqomah adalah suatu perkara penting yang perlu ada dalam diri setiap muslim sepertimana ia juga merupakan perintah Allah terhadap Nabi Muhammad dan para pengikutnya dalam firman Allah:


Oleh itu, hendaklah Engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan Yang betul sebagaimana Yang diperintahkan kepadaMu, dan hendaklah orang-orang Yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa Yang kamu kerjakan.


Ayat Qur’an ini merupakan perintah Allah kepada Nabi Muhammad dan para sahabat agar beristiqomah serta tidak melampaui batas-batas yang telah diletakkan. Arahan secara langsung ini kepada Nabi Muhammad menunjukkan betapa pentingnya istiqomah dalam kehidupan seorang muslim.


Malahan ia tidak sekadar cukup difahami istiqomah hanya dalam kontek ibadah-ibadah fadhu mahupun yang sunat,tetapi dalam urusan-urusan yang lain yang lebih luas dan menyeluruh dengan mempraktikkannya dalam segenap segi perbuatan kita.


Rintangan-rintangan istiqomah


1) Lemah iman
Lemahnya iman seseorang banyak menyumbang kepada kurangnya istiqomah seseorang dalam ketaatan kepada Allah. Ia bermula dengan berlakunya ketirisan dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah dan kemudian ia membarah kepada terus meninggalkan sesuatu ketaatan tersebut. Apabila lemahnya keimanan seseorang, ia adalah kunci kepada segala kemaksiatan dan kealpaan. Jika tidak dirawat, ia akan terus merebak dan makin susah untuk merawatnya.


2) Banyak maksiat dan lupa untuk bertaubat

Setiap manusia pasti tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan. Namun, kesilapan manusia yang paling besar adalah tidak bersegera untuk bertaubat kepada Allah walhal pintu taubat telah dibuka selauas-luasnya. Tidak bertaubat atas segala kesalahan kita juga menunjukkan kurangnya muhasabah diri dalam setiap tindakan kita dan akhirnya setiap tindakan yang telah kita lakukan tidak Berjaya kita terjemahkan kepada perbuatan yang berterusan pada masa hadapan.


3) Lupa mati dan akhirat

Lupa pada hakikat kematian dan akhirat adalah hasil kepada lemahnya keimanan seseorang. Lupa bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara dan kehidupan yang sebenar adalah selepas mati akan menyebabkan seseorang tidak berasa sabar terhadap segala rintangan yang dihadapinya dalam mengharapkan keredhaan Allah.


4) Tidak ada nasihat menasihati apabila sudah melampaui had-had agama

Nasihat menasihati menjamin sesorang individu atau sesebuah organisasi terus melangkah kehadapan. Namun, ketiadaan budaya nasihat menasihati akan membawa kepada kemunduran dan kejumudan dalam setiap segenap kehidupan kita.


Bagaimana melawan rintangan-rintangan tersebut


1) Niat kerana Allah sahaja
Ikhlas dalam segala amalan adalah asas kepada penerimaan segala amalan. Niat kerana manusia akan menyebaban kita tidak istiqomah apabila seseorang itu tidak ada. Niat kerana manfaat sesuatu perkara juga tidak menjamin kepada istiqomah apabila manfaat tersebut hilang. Niat kerana Allahlah membawa kepada istiqomah dalam setiap amalan kerana Allah itu Maha Mengetahui setiap apa yang dikerjakan oleh setiap orang, secara sembunyi mahupun tidak.


2) Beramal di jalan Allah

Sesuatu kebaikan tidak akan sekali-kali bercampur dengan keburukan. Apabila kita beramal di jalan Allah, pada masa tersebut kita telah menutup pintu-pintu untuk berbuat kejahatan. Ia secara tidak langsung membawa kepada istiqomah dalam ketaatan kepada Allah


3) Tidak melakukan perkara-perkara yag melampaui had-had agama

Apabila kita sentiasa menjaga batasan-batasan kita dalam setiap perbuatan, kita susah untuk jatuh dalam kemaksiatan kepada Allah. Ia bukan perkara yang cukup dilaksanakan secara individu, tetapi ia merupakan suatu perbuatan yang kolektif kerana hakikat manusia mudah jatuh kepada kemaksiatan tanpa disedarinya tetapi orang disekeliling kita mudah melihat kepada kemaksiatan yang dilakukan oleh kita.


4) Sabar

Tiada perkara ketaatan yang tidak ada rintangannya kerana syaitan dengan segala kemampuannya akan berusaha untuk menjauhkan manusia dari ketaatan kepada Allah. Oleh itu, sabar dalam menghadapi segala ujian adalah suatu benteng yang utuh bagi setiap muslim yang mengharapkan istiqomah dalam segala amalannya.


Moga kita diberi keistiqomahan dalam segala perkara. Wallahua’lam.


Read more...

Saturday, 4 December 2010

Berulangnya Tsunami Satu Peringatan


Gelombang Tsunami di Mentawai,letupan dari gunung Merapi,dan banjir yang melanda Malaysia terutamanya di Kedah,Kelantan dan Perlis sebenarnya adalah peringatan dari Allah,setelah manusia melupakan Allah yang tanpa izin-Nya,manusia tak akan mampu menghirup udara yang disedut hembus setiap hari.Manusia lupa untuk mengambil pengajaran dari Tsunami yang lepas.Benarlah bahawa manusia mudah lupa!.



Tsunami (津波) berasal dari bahasa Jepun yang bermaksud ombak besar di pelabuhan, sering kali disalah takrifkan sebagai gelombang pasang surut (tidal wave), merupakan satu siri ombak yang berlaku selepas gempa bumi (dalam laut), tanah runtuh, aktiviti gunung berapi, letupan, atau hentaman meteor dalam atau berhampiran laut. Tenaga setiap tsunami adalah tetap, fungsi ketinggiannya dan kelajuannya. Dengan itu, apabila gelombang menghampiri pantai, ketinggiannya meningkat sementara kelajuannya menurun. Gelombang tersebut bergerak pada kelajuan tinggi, hampir tidak disedari apabila melintasi air dalam, tetapi meningkat kepada ketinggian 30 meter atau lebih. Tsunami boleh menyebabkan kerosakan teruk pada kawasan persisiran pantai dan kepulauan.


Itulah serba sedikit pengenalan dari Wikipedia tentang Tsunami yang berlaku lagi baru-baru ini di Mentawai,Indonesia. Kejadian tsunami tersebut berlaku akibat gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter dan berlaku 20 kilometer di bawah dasar laut.


Sudah pasti bencana Tsunami ini membuatkan kita mengimbas kembali kepada peristiwa taufan dan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salam. Jika dicampurkan jumlah korban manusia pada Tsunami yang dulu dan sekarang, mungkin ia sama dengan jumlah mereka yang ditenggelamkan oleh banjir di zaman Nuh Alayhi as-Salam. Ia adalah banjir yang meliputi keseluruhan muka bumi dan pengetahuan manusia tentang pernahnya berlaku banjir besar itu, diiktiraf oleh semua tamadun manusia.


Maka amat wajar sekali kisah di zaman Nabi Nuh 'Alaihi as-Salam itu dijadikan iktibar. Ini kerana, Allah SWT mengekalkan ingatan umat manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat manusia, mukmin dan kafir. Firman Allah SWT di dalam surah al-Haaqqah ayat (11-12):


“Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran”


Jika diteliti beberapa potongan ayat al-Quran tentang bencana di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salam, ia tidaklah jauh berbeza dengan bencana Tsunami 26 Disember 2004 dan yang apa yang berlaku di Mentawai baru-baru ini. Cuma mungkin berbeza dari segi skalanya sahaja kerana Tsunami yang Allah SWT datangkan kepada kita hanya menelan manusia di sebahagian daratan sahaja, tidak segenap pelusuk bumi.


Bahkan ombak besar yang melanda bencana di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salam itu juga lebih hebat dari Tsunami tempoh hari. Ia digambarkan seperti gunung oleh Surah Hud ayat (42 – 43):


“Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.


Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. “


MENGAMBIL IKTIBAR


Namun bagi kita hari ini, bagaimanakah sepatutnya kita mengambil pengiktibaran daripada bencana Tsunami tempoh hari? Atau buat-buat tak tahu kerana ia tak berlaku pun di negara kita,Malaysia? Ataupun kerana ia tidak berlaku di tempat kita menimba ilmu ini,di Sana'a?


Sebenarnya Allah masih mengizinkan kita untuk bermuhasabah dan tidak membinasakan kita semua dengan suatu bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata. Firman Allah SWT:


“Dan takutlah kamu kepada bencana yang tidak hanya menimpa golongan yang zalim semata-mata dari kalangan kamu secara khusus” (Al-Anfaal: 25)


Ataupun kita mahu menunggu sehingga bumi Malaysia dipenuhi dengan gelimpangan mayat seperti di Acheh dan Merapi baru mahu tersentak dari kelaghaan selama ini?.Bukankah kita sebenarnya sudah terlalu jauh pergi meninggalkan sifat diri sebagai hamba Tuhan?


” Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah(jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi.” (Al-A’raaf 98-99)


Read more...

Wednesday, 1 December 2010

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah ( 661 – 728 Hijriah )


Beliau adalah Syeikhul Islam Al Imam Ahmad bin Abdul Halim bin Abdus Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Al Khadr bin Muhammad bin Al Khadr bin Ali bin Abdullah bin Taimiyyah Al Harani Ad Dimasyqi. Nama kuniah beliau adalah Abul ‘Abbas.


Beliau lahir pada tanggal 12 Rabi'ul Awwal 661 Hijriah di Haran. Berpindah ke Dimashq ketika berumur 7 tahun bersama ayahnya, melarikan diri dari Tartar yang menyerang muslimin.


Membesar dalam keluarga yang kaya dengan ilmu fiqh dan agama. Ayah, datuk dan kebanyakan pakcik beliau adalah ulama’ terkenal. Guru pertama beliau adalah ayahnya sendiri. Menghafal Al-Quran sejak kecil. Mempelajari hadis, fiqh, usul dan tafsir.


Seorang yang cerdas dan kuat hafalan. Kemudian, dengan sendiri beliau mendalami ilmu. Sehingga cukup syarat seorang Mujtahid dalam dirinya ketika masih muda. Diakui oleh alim ‘ulama besar sebagai seorang Imam sebelum berusia 30 tahun kerana ilmu, kelebihan dan keimanannya dalam agama.


Hidup pada zaman tersebarnya bid’ah dan kesesatan. Isme-isme batil berleluasa. Semakin bertambah syubhat (racun pemikiran), jahil, ta’asub (fanatik) dan taqlid buta (ikut seseorang tanpa dalil). Ketika itu juga, muslimin diperangi Tartar dan tentera Salib.


Berjihad dengan pedang menentang Tartar dan berjihad dengan pena melawan salah faham terhadap Islam. Perjuangan dengan pena semakin sengit kerana :


  1. Banyaknya bid’ah dan syirik, yang terdapat di sekitar masyahid dan kuburan yang diziarahi. Juga kepercayaan yang batil terhadap orang yang hidup dan mati.
  2. Tersebarnya falsafah, penyelewengan dan perdebatan. Tasawuf dan tarekat sufi yang sesat mula menular dalam masyarakat. Pemikiran Bathiniyyah juga turut tersebar.
  3. Puak Rafidhah terus menyebarkan bid’ah dan syirik di tengah muslimin, mengendurkan semangat umat untuk berjihad.

Ujian Allah sangat berat ke atas beliau. Diperangi, diusir, dihina dan disakiti. Turut dipenjara berkali-kali kerana perjuangannya di jalan Allah. Akhirnya, Syeikhul Islam wafat pada malam Isnin, 20 Zulqaedah 728 hijriah, dalam keadaan terkurung di penjara Al-Qol’ah, Dimashq.


Dunia menyaksikan pemergian seorang pejuang. Jumlah manusia yang besar hadir, tidak dapat dibayangkan jumlahnya, mengiringi jenazah beliau.


Semoga Allah merahmati dan memberi ganjaran seribu kebaikan atas jasa beliau terhadap Islam dan kaum muslimin.


Read more...