Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Integrasi Tarbawi

Integrasi Tarbawi

Thursday, 26 April 2012

Kawan Kita yang Berebut Suis

oleh: Ibnu Somit


Bismillahi Rabbil 'Ula

Selawat dan salam buat penghulu seluruh nabi dan rasul, Muhammad saw.



Bayangkan sahabat,


Kita mempunyai seorang teman. Di mana sahaja beradanya kita, dia bersama. Setiap masa dan detik, dia cuba untuk memberi kita keseronokan. Menghalang kita daripada bersusah-susah. Kata-kata motivasinya kepada kita,



"rileks lah.. bukan selalu dapat free time "


"tak payah risau, tak de apa-apa nya.."


"buat je.. tak ada orang nampak pun"



 Pokoknya, dia selalu mengunjurkan kita ke daerah keselesaan atau comfort zone..


dan bayangkan sahabat,


Kita ada seorang teman. Dia pun bersama dengan kita setiap masa. Tapi teman ni lain sikit, tak macam yang mula-mula tadi. Bila kita rasa susah untuk buat sesuatu yang bermanfaat, dia dorong kita supaya kita buat. 


Kadang-kadang bila kita rasa nak rileks dan nak enjoy lebih sikit, dia ingatkan kita tentang akibat membuang masa. Kalau kita kena musibah, dia pujuk kita supaya tak menyalahkan sesiapa, bahkan disuruhnya kita untuk muhasabah diri, kalau² musibah tu titik tolaknya dari diri kita. Tutur-tuturnya yang selalu diucapkan,



"orang hebat tak main la kalau lembik-lembik.."


"rasa susah? berjuta lagi orang yang susah dari kau.."


"Allah sayang dekat kau, sebab tu la Dia tegur kau dengan kesusahahan.."



Perkara yang baik yang susah untuk dilakukan, lagi dia suruh kita buat. Aktiviti-aktiviti yang riang dan penuh senang lenang, dia halang kita sedaya mungkin. Melarikan kita daripada berada dalam kesenangan..


Jadi.. ada betul-betul ke 2 jenis sahabat ni??


Yup, memang tepat jawabannya, ada. Dan ianya wujud, serta bersama dengan kita setiap masa.


 Iman dan nafsu. 


Mereka berdua tinggal dalam satu jasad bersama kita, tarik menarik untuk mendominasi hati..


Hakikatnya, diri kita atau sinonimnya iman.. yang berlitup dalam jasad sementara pinjaman daripada Al Khaaliq, berhempas pulas menahan serangan nafsu membadai yang berbagai spesiesnya.


Kalau kita kata okey pada nafsu, syaitan tertawa besar melihat kita.. melihat iman menggelupur kepiluan, diinjak nafsu, dan dilumur dengan dosa maksiat yang kita lakukan, dan Allah akan semakin jauh daripada kita *kami memohon perlindungan pada-Mu ya Allah daripada bahana ini*..


Kalau kita kata okey pada iman, beruntunglah kita.. Allah akan sentiasa bersama kita setiap saat dan waktu. Menjaga kita, take care dengan kita, sayang pada kita. Malaikat-malaikat-Nya akan bersama dengan kita. Lindungi kita daripada dikacau syaitan laknatullah.. * kami mohon berada dalam golongan ini ya Rabb.. *


Hm.. kalau macam itulah bahayanya nafsu, macam mana nak halang daripada menguasai diri ? Supaya iman sentiasa mengharmonikan hati?


Seorang murabbi ditanya anak didiknya *kisah benar ni, serius*.



"ustaz, apa kita nak buat kalau kita cinta pada seseorang *kerana paras rupa dan peribadi semata*? walaupun kita tak pernah berbicara dengan dia? Hanya bersua sahaja?,"


"perasaan cinta itu datangnya dari mana?"


"dari hati lah ustaz"


"baik, cinta itu datangnya dari hati.. cinta itu umpama lampu. hati itu umpama suis kepada lampu. Jika cintamu terzahir kerana kamu membuka hati kamu untuk menyukainya, nescaya kamu boleh menutup hati kamu untuk tidak menyukainya. Tutup suis hati, lampu cinta terpadam, dan ianya selesai,"


"tutup suis hati?"


"tutup hati kamu daripada cinta yang lagha dengan zikrullah. Jangan beri peluang kepada cinta yang lagha untuk memenuhi hati. Penuhkan ruangan hatimu dengan ingat kepada Allah, sentiasa menyebut nama-Nya, memohon ampun pada-Nya. Suburkan cinta Allah di hatimu dengan kalam-kalam suci-Nya..


Apabila hati disibukkan dengan mengingati Allah, secara sendirinya ia akan memenuhi ruangan hati dan menyingkir perasaan cinta yang didorong nafsu itu.."



Penuh hikmah sang murabbi menjawab persoalan anak didiknya yang berdarah muda. Jawapan yang diberi ringkas dan padat.


All-out dalam mengekang hati daripada dikuasai nafsu. Kerana terburu-buru mengikut nafsu antara sifat yang memusnahkan fitrah seseorang manusia. Ya, sangat memusnahkan.


Ini dia kronologi kerjasama nafsu dan syaitan nak tawan hati,


Syaitan bisik pada nafsu~


~nafsu berusaha menggerakkan kita untuk melakukan apa yang disarankan syaitan~


~ kita membuat pilihan ~


~ jika pilihan kita untuk menurut nafsu, terjerumuslah kita dalam perangkap syaitan..


 jika kita memilih untuk tidak, alhamdulillah..


dan selagi itulah syaitan dan nafsu akan bersekongkol sedaya mereka supaya kita memilihnya..


*gambaran ringkas secara kasar.. *


"kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan" [Yusuf : 53]


Mohonlah perlindungan Allah swt daripada syaitan [ antaranya lafaz isti'azah ]. Syaitan booster kepada nafsu. Nafsu yang drive kita untuk melakukan kemungkaran dan dosa. Tak kira jenis kecil ke besar ke, yang penting maksiat disisi Allah swt. 


"dan jika syaitan mengganggumu dengan satu godaan, maka MOHONLAH PERLINDUNGAN kepada Allah" [Fussilat : 36]


Kalau syaitan tak boleh mendekati kita, maka nafsu pun jadi useless *sesen pun tak ada guna!*. Hilang kudrat upaya nak menjahanamkan iman kita. Bergumbiralah jiwa beserta iman dan kemanisannya. 


"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya)" [al-A'raaf : 200]


Nafsu tu suisnya ada di hati kita. "Off"kan hati kita kepada nafsu dengan 


zikrullah,
ingat mati,
bertilawah + menghayati ayat-ayat alQuran,
meneliti keagungan ciptaan Allah swt *tadabbur alam*


Kita tak ada apa-apa melainkan pilihan, Sama ada dipandu


 IMAN atau NAFSU.


Pilihan di tangan kita..


 *saya yang paling takut merasakan. Kerana Allah sangat murka kepada orang yang berkata-kata tapi tidak melakukannya. Moga kita semua dilindungi-Nya daripada golongan itu. Ameen.*


Wallahu a'lam.

Read more...

Thursday, 22 December 2011

Jahiliyyah:::Mungkar

Memikirkan tugas para du’at dalam mengembalikan Islam kepada masyarakat, saya teringatkan kata-kata Syed Qutb rahimahUllah dalam menggariskan permulaan dakwah dan tarbiyah, beliau mengingatkan kita, sekiranya kita tidak kenal jahiliyyah, atau kita tidak kenal apa itu ma’aruf, maka kita tidak akan bertindak melawannya. Kerana itulah, Allah menamakan yang baik itu sebagai ma’aruf, yang berasal dari perkataan arab ‘arafa yang bermaksud mengetahui. Ma’aruf pula bermaksud apa yang diketahui umum. Manakala mungkar pula, kata lawannya, tidak diketahui umum.



Kerana ini jugalah Rasulullah sAllahu’alayhiwasallam menyebutkan dalam hadith akhir zaman, bahawa ma’aruf (yang diketahui umum) itu akan menjadi mungkar (tidak diketahui umum), dan mungkar pula akan menjadi ma’aruf. Dalam hadith yang lain pula Rasulullah sAllahu’alayhiwasallam menyebutkan Islam akan menjadi asing atau dagang (ghareeb) sepertimana ia bermula.



Menggabungkan kata-kata Syed Qutb rahimahUllah dan kata-kata Rasulullah sAllahu’alayhiwasallam, sekiranya kita yang berada di akhir zaman ini tidak menyedari bahawa kebanyakan Islam itu sudah menjadi mungkar (tidak diketahui umum), maka kita tidak akan bertindak menyuruh kepada ma’aruf yang hakiki.



Saya berikan bebrapa contoh mungkar yang sudah menjadi ma’aruf tanpa kita sedari. Pertama, semua orang tahu menutup aurat itu satu perkara fardhu. Aurat pula bagi lelaki dari pusat hingga ke lutut, dan bagi perempuan, seluruh anggota kecuali muka dan pergelangan tangan. Semua orang tahu. Seakan-akan ma’aruf bukan?



Namun tanpa kita sedari, apabila ada orang menutup aurat dengan sempurna, baik lelaki mahupun wanita, kita merasa pelik, janggal, dan asing. Ghareeb. Dan apabila ada yang tidak menutup aurat, kita merasa biasa sahaja.



Perempuan memakai tudung tetapi menampakkan lengan atau rambut, biasa sahaja di mata kita. Lelaki memakai seluar tiga suku (bawah lutut), tidak beradab, tidak sopan, kurang ajar, tidak layak dipanggil da’ei!



Biasa jumpa contoh ini? SadaqAllahu wa Rasuluhu sAllahu’alayhiwasallam! Tidak setuju? Tengok contoh kedua.



Poligami suatu perkara diharuskan dalam Islam. Setiap perkara harus (mubah) boleh termasuk dalam hukum yang lima bergantung kepada keadaan. Ma’aruf, bukan? Bahkan sesiapa yang menentangnya, KITA sendiri akan menamakannya liberal, atau Sisters in Islam, orientalis, dan sebagainya.



Namun lihat sekeliling kita. Lihat kita. Adakah di antara kita yang mengamalkan poligami? Para Islami? Da’ei? Orang awam? Apa reaksi kita apabila terdengan seseorang mengamalkan poligami? Kuat nafsu? Apa tindakan kita sekiranya pasangan kita mahu berpoligami? Apa tindakan kita, mahukah aku berpoligami? Tentu jawapannya, mungkar. Ingkar.



Tidak bersetuju dengan contoh-contoh ini? Jawapan saya, sadaqAllahu wa rasuluhu sAllahu’alayhiwasallam.



Ambil contoh terakhir. Apabila kita mendengar satu pasangan berkahwin awal, atau berkahwin sewaktu sekolah! Apa reaksi kita? Ya, kita. SAYA terlebih dahulu. Dah gatal sangat nak kahwin? Budak kecil tahu apa? Ish..ish..ish.. habis masa depan budak tu.. nak bagi makan apa? Bincangkan semula dalam mahkamah!



Namun apabila kita mendengar budak-budak, pelajar sekolah berzina, apa reaksi kita? Tidak lebih daripada, “budak-budak zaman sekarang……………………………………..” dengan hela nafas panjang..



Allah menjadikan badan manusia sedia untuk mengandung dan mendapat zuriat bermula umur baligh lagi. Rupanya Allah tidak tahu, yang dia belum sedia berkahwin sehingga lepas kerja.. Paling kurang pun umur 18 tahun.. Apalah Allah ni..



Astaghfirullah!



Sedangkan apa jua perkara harus (mubah) tidak memerlukan sebab atau alasan untuk mengamalkannya. Tidak perlu. Kenapa awak pakai baju biru? Kenapa awak makan daging? Kenapa awak beli tayar? Kenapa awak beli rim saiz 20? Kenapa awak naik bas? Kenapa awak beli kereta? Kenapa awak berkelah tepi pantai? Kenapa? Kenapa? Kenapa?



Ingat, tujuan saya menimbulkan contoh ini bukanlah untuk fokus pada contoh di atas. Jauh sekali menyatakan bahawa contoh-contoh ini adalah perkara usul, pokok yang perlu dibincangkan. Tujuan saya hanyalah menyedarkan kita, dunia kita ialah akhir zaman. Yang ma’aruf sudah menjadi mungkar. Yang mungkar sudah menjadi ma’aruf. Semua hanya CONTOH SAHAJA.



Tujuan saya hanyalah mengingatkan kita kata-kata Khalifah kedua, Umar radhiAllahu’anhu, “sekiranya kita tidak kenal jahiliyyah, bagaimana kita bertindak menentangnya?” Mengembalikan manusia kepada Islam, bermaksud kita pada mulanya harus sedar keadaan dunia kita sekarang. Barulah TITIK TOLAK, pendorong, atau apa sahaja yang PUSH kita ke arah dakwah dan tarbiyah, menjadi lebih kuat, mantap, dan PADU! Jangan ingat kita dalam comfort zone!



Mulalah berdakwah dan tarbiyah sekarang!


Read more...

Friday, 10 June 2011

Mata hanya dua, Pandangan pula...?


ANTARA kelebihan sesetengah pendakwah ialah pengalaman. Pengalaman itu datang dari jalan dakwah yang panjang.


Namun begitu terjadi satu masalah. Terlalu lama menjadi pendakwah, terlupa menjadi mad'u.


Ayat yang pelik?


Apabila kita mahu berdakwah kepada kanak-kanak, kita terlupa untuk menjadi kanak-kanak, membaca fikiran kanak-kanak, MELIHAT dari mata kanak-kanak itu. Yalah, sudah LAMA menjadi orang besar: "kau budak-budak apa yang kau tahu"?


Nabi sallAllahu'alayhi wasallam pernah bersembang dengan seorang kanak-kanak mengenai burung peliharaannya, seolah suatu isu penting. Sebenarnya memang satu isu yang penting: Menaikkan harga diri kanak-kanak itu!


Nabi juga meminta izin kanak-kanak dalam haknya.


Siapa kanak-kanak dibandingkan dengan pendakwah yang mendapat direct orders from God?


Umar radhiyAllahu'anhu pernah bermain dengan kanak-kanak sehingga datang seorang mukmin ingin berjumpa khalifah mukminin, lalu dia malu. Umar berkata, "..bersama kanak-kanak, jadilah kanak-kanak.." Tiada yang perlu dimalukan.


al-Baitul Muslim. Atau rumah yang muslim. Rumah yang bersifat muslim dibina atas dasar dakwah. Sungguh mulia. Namun jangan sampai melahirkan anak-anak yang tidak pandai melihat dari mata seorang yang bukan dari al-Baitul Muslim. Dari keluarga fasad yang bertaubat. Keluarga Biasa.


Kita sering mendengar ungkapan, "pendakwah memandang dengan mata yang penuh rahmat, bukan mata meninggi diri." Benar.


Namun kita juga harus - sebelum berdakwah - menjadi mad'u itu dahulu, melihat dari mata dia, agar kita faham apakah penghalang untuk 'kita' menerima dakwah 'kita' yang 'kita' rasakan cukup syarat dan hujah beserta dalil.


Sesetengah kita pakar IT, berdakwah melalui internet, blog, laman sosial Buku Muka, namun jangan lupakan wadah-wadah lain, menurut kajian, peratus rakyat Malaysia yang menggunakan internet tidak sampai separuh!


Telefon tangan juga mudah, e mel masih ada, jangan lupakan yang mudah-mudah ini untuk yang lebih mudah. Lebih mudah, ambil mudah.


Ustaz Hasrizal pernah mengingatkan 'syabab FB' agar tidak hanya cukup mengundang majlis perkahwinan yang Maha Penting itu hanya dengan jeritan di dinding Buku Muka. Tidak cukup dan tidak beradat. Bukan semua orang tengok. Apatah lagi kalau jumlah kawan berpuluh-puluh ribu, status untuk 'Villa Ladang' sahaja ambil masa 3 hari nak baca semua.


Ingatan untuk diriku.

Read more...

Tuesday, 10 May 2011

Bukti Kebenaran Islam dalam Lautan???

Seorang manusia biasa tidak mampu menyelam dalam air lebih daripada 40 meter tanpa bantuan alatan seperti pakaian khas, kapal selam atau seumpamanya.
Dengan pakaian khas yang paling biasa, mungkin seorang penyelam boleh mencapai 130 meter.

Pada zaman dahulu, terdapat pelbagai khurafat mengenai laut. Dewa Laut, Tuhan Laut, Penunggu Laut, apa yang terdapat di dalam laut, apa yang terdapat di penghujung laut. Dari tamadun Romawi sehingga tamadun Parsi, termasuk tamadun China, semuanya mempunyai kepercayaan khurafat yang tersendiri, sehingga menyebabkan ada yang takut untuk belayar di lautan.


Kapal selam yang pertama dibina, dan didokumentasikan secara cukup dalam secara adalah selewat 1620-an, lebih kurang 1040 tahun selepas Hijrah Nabi sallAllahu'alayhiwasallam.


Setelah terbinanya alatan khas untuk menyelam jauh ke dalam air, barulah saintis menemui bahawa rupanya dalam laut itu gelap. warna-warna cahaya akan terbias satu demi satu sehingga akhirnya tiada satu pun yang tinggal.


Untuk memahamkan anda dengan lebih lagi, cuba perhatikan gambar rajah ini:




Antara 3 hingga 30 peratus cahaya matahari dibiaskan di permukaan laut. Kemudian, hampir semua 7 warna spektrum cahaya diserap satu demi satu di 200 meter pertama, kecuali cahaya biru. (rujuk: Oceans, oleh Elder dan Pernetta, m/s 27)


Setelah terciptanya semua alatan yang canggih untuk masuk ke dalam laut, dan alatan yang canggih untuk naik ke angkasa, sekali lagi para saintis menemui fenomena lautan, dikenali hari ini sebagai ombak dalaman atau internal waves.


Ombak dalaman terbentuk disebabkan pertembungan ruang kepadatan antara kepadatan-kepadatan yang berbeza. Ombak dalaman ini melitupi air yang dalam di laut dan lautan kerana air dalam mempunyai kepadatan lebih tinggi daripada air yang di atasnya. Ombak dalaman bertindak seperti ombak luaran. Ia juga boleh berpecah, sama seperti ombak luaran.


Ombak dalaman ini tidak mampu dilihat oleh mata kasar manusia, namun ia boleh diketahui dengan mempelajari suhu dan kepadatan suatu tempat tertentu.


Ombak ini juga membentuk gelombang yang besar, boleh dilihat melalui satelit di angkasa.


Terlalu banyak data? Perhatikan gambar ini dahulu:




Yang bawah padat. Yang atas kurang padat. (rujuk: Oceanography, oleh Gross, m/s 204)


Betapa hebatnya penemuan para saintis dan alatan-alatan mereka yang canggih. Memerlukan masa dan tenaga yang banyak sekali.


Hebat lagi Tuhan yang mencipta para saintis itu, bahan-bahan untuk alatan mereka, dan juga lautan itu sendiri!


Allah subhanahuwata'ala telah memberitahu kita 1400 tahun dahulu dengan ungkapan yang mudah:


أو كظلمات في بحر لجي يغشاه موج من فوقه موج من فوقه سحاب ظلمات بعضها فوق بعض إذا أخرج يده لم يكد يراها


"atau seperti kegelapan di laut yang dalam, yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ombak (lagi), di atasnya (barulah) awan; kegelapan yang saling menindih, apabila seseorang mengeluarkan tangannya, tiadalah dia dapat melihatnya."

(an-Nur: 40)


Dua kali Allah menyebutkan ombak, kenapa ya?


Gelap sungguh sehingga tangan sendiri tidak kelihatan.


Persoalan terakhir ialah; bagaimana Muhammad (sallAllahu'alayhiwasallam) mereka-reka al-Qur'an itu????


Kerana itulah Allah menutup ayat ini dengan kata-Nya:


ومن لم يجعل الله له نورا فما له من نور


"dan siapa yang Allah tidak berikannya cahaya (petunjuk) maka tiadalah dia cahaya."

Read more...

Saturday, 30 April 2011

Perang Pemikiran paling bahaya


Al-Himmah


Dalam pada dunia-dunia Arab (sepatutnya: dunia Islam) masih lagi kebanyakannya bergolak, kita di Malaysia yang aman dan harmoni, tenang dalam kehidupan seharian. Sibuk bekerja, sibuk mengisi borang, sibuk mencari bantuan, sibuk mengumpul teman, sibuk berchating dan berkenalan baru, atau menurut teman saya, sibuk memberi kucing dan ayam makanan! (baca ini dan ini)


Isu hangat di sini berdasarkan kadar hit di Google, atau kadar carian paling banyak rakyat Malaysia di internet (tengok sini), ialah pertama politik (seperti sumpah laknat Datuk T) dan isu kedua hiburan (seperti berhala, maaf.. idola Malaysia). Bagi mahasiswa Sanaa, Yaman, bumi Iman, Fiqh, dan Hikmah, yang bercuti mungkin SEBAHAGIANnya sibuk mengikuti perkembangan IMAM Muda Fakhrul yang dahulunya belajar sekejap di Sanaa.


SubhanAllah!


Umat Islam sepatutnya mempunyai himmah aaliyah, himmah yang tinggi. Apakah maksud ‘hamm’? ‘Hamm’ ialah keinginan yang sangat kuat yang mendorong anggota badan yang lain bekerja ke arahnya. Oleh kerana itu Nabi sallAllahu’alyhiwasallam berdoa dijauhi daripada keinginan yang mengganggu matlamat hidupnya, IBADAH!


اللهم إني أعوذ بك من الهم والحزن


“Ya Allah sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada al-hamm dan kesedihan!”


Bahkan doa ini didahulukan daripada ‘الجبن’ atau ‘sifat pengecut’ sedangkan dalam berjihad menentang nafsu kehidupannya, seorang mukmin seharusnya meminta pertolongan Allah membuang sifat pengecut!


Allahu Akbar!


Kita setiap hari bersolat lima waktu, ditambah pula dengan solat rawatib mengiringi setiap lima solat, ditambah pula tahajjud dan witir sebelum Subuh sebagai ubat kuat para da’ei. Setiap solat kita ucapkan Allahu Akbar! Allahlah yang PALING besar, lebih besar daripada musuh kita, lebih besar daripada Amerika Syarikat, mahupun Britain, mahupun rejim haram Israel! Semestinya!


Allah juga seharusnya diletakkan lebih besar dan tinggi daripada segala rutin lain samada memasak, membasuh pakaian, atau mengambil lesen motosikal B penuh!


Iblis musuh Allah berjaya menyibukkan kita, dan meletakkan seolah-olah inilah segalanya!


Politik


Apabila mengembalikan hukum Allah yang Maha Tinggi memerintah bumi menjadi wajib atas batang tengkuk setiap kita yang membaca ini atau yang tidak membaca atau jauh berniat membaca, kita bersemangat. Bersemangat. Bersemangat.


Musuh Allah menggunakan semangat kita untuk memesongkan kita daripada jalan yang sebenar, biar terpesong sedikit, mudah-mudahan lama kelamaan terus terpesong.


Kita pula berasa ambil mudah, “tak apa, nanti aku masuk balik jalan besar, bukannya jauh..”


Sedangkan dalam Islam hanya ada satu garisan yang lurus di tengah-tengah, manakala bukan jalan itu pula, walaupun SATU milimiter DEKATnya, walaupun sama lurus, adalah BUKAN Islam.


Sheikh Muhammad Qutb rahimahUllah dalam perbincangan mengenai perang pemikiran atau dalam bahasa ‘kita’ para da’ei al-Ghazwu al-Fikri menyebutkan di sana terdapat banyak kelompok yang ‘Islamiyyun’ atau dalam bahasa mudahnya ‘yang memperjuangkan Islam’ namun diuji oleh Allah ta’ala dengan pemesongan jalan, atau al-ghazwu al-fikri. Mereka mengambil jalan yang tidak Islam, namun meng’Islamisasi’kan jalan itu. Mazahib Fikriyyah.


“Semoga Allah menulis segala yang mereka lakukan sebagai pahala atas niat mereka,” doa Sheikh,” dan mengampunkan mereka apa yang tidak diketahui dan disedari.”


Apa pandangan anda sekiranya saya menyebut:


Komunis Islamik atau Sosialis Islamik. Islam agama yang sosialis, memperjuangkan hak-hak sosial rakyat yang sama rata. Negara wajib membantu rakyat.


ATAU: Islam agama demokrasi. Memperjuangkan hak kebebasan manusia, setiap rakyat berhak memilih pemimpinnya, kuasa mengundi.


ATAU: Demokrasi adalah shura. Rakyat ber’shura’ memilih pemerintah.


Sungguh, beginilah Islam. Sungguh.


Subhannallah, Islam Maha Tinggi lebih tinggi dan mulia daripada istilah-istilah ciptaan akal manusia yang tidak beriman dengan Allah dan Hari Pembalasan.


Tidak dinafikan bahawa manusia mempunyai hak asasi dan kebebasan bersuara, namun semuanya terhad apabila melebihi batas yang Allah tetapkan.


Tidak dinafikan sistem shura adalah Islam, namun hanya ahli ilmu waliyyu amril-Muslimin berhak ber’shura’. Bayangkan satu pilihanraya kecil dijalankan. 10 orang kafir membenci Islam mengundi A dan 1 ulama ulung alim wara’ bertaqwa bersolat bertahajjud menunaikan zakat dan haji mengundi B. menurut sistem demokrasi Islam apa yang anda bayangkan? Siapa yang menang? A. Tidak kira apa yang anda hujahkan sekarang dalam fikiran anda, tetap A. Tidak kira.


Tidak dinafikan negara wajib membantu rakyat. Wajib mengembalikan hasil bumi negara kepada rakyat, namun Islam bukan sosialis!


Hikmah itu hilang daripada Muslim. Di mana sahaja dia temuinya, maka dialah lebih berhak mengutipnya!


Bagaimana pula sekiranya secebit hikmah itu masih ada dalam gendongan muslim. Mahu dikutip jenis hikmah yang lain pula?


Jadilah seorang yang adil. Salah disalahkan walaupun keluar dari mulut muslim sekali pun. Benar tetap benar walaupun keluar dari mulut kafir sekali pun. Ambil yang terbaik. Ini ajaran al-Qur’an.


Sheikh Abdul Majid az-Zindaniy, al-Murshid al-Am Himpunan Yaman lil-Islah (parti Islam Yaman) dalam menyatakan sokongannya terhadap pemuda-pemuda perubahan di medan Perubahan di hadapan Universiti Sana’a menjatuhkan rejim yang korup, sempat mengingatkan mereka agar tidak terjatuh dalam perangkap barat dalam menggunakan istilah-istilah dan matlamat-matlamat yang mereka tetapkan. Islam bukan meletakkan hukum dalam tangan rakyat, sebaliknya dalam tangan Tuhan rakyat itu, Islam memerintah, bukan diperintah. (ada poster mereka yang mati shahid disebarkan tertulis: shuhada’ demokrasi)


Ekonomi


Allah subhanahu wa ta’ala mengisytiharkan perang terhadap riba, dalam al-Qur’an. Nas yang qat’ie. Perang.


Sistem ekonomi Islam sangat penting sehingga ‘solat’, sujud menyembah Allah sentiasa digandingkan dengan ‘zakat’.


Namun tahukah anda, sebenarnya ekonomi Islam dalam Pemerintahan Islam hanyalah wasilah? Hanya cara. Bukan ghayah. Bukan matlamat.


Pemerintahan Islam yang hakiki mempunyai visi menyebarkan kalimah Allah di muka bumi, bukan hanya sekangkang kera tanah yang dipijaknya. Tanpa visi ini, ia bukan pemerintahan Islam, walaupun ia memotong tangan pencuri yang cukup syarat! Dan untuk menjalankan visi ini, di sinilah diperlukan sumber kewangan yang suci bersih. Di sinilah ekonomi Islam.


Sheikh DR. Yusuf al-Qaradhawi – semoga Allah memeliharanya – dalam bukunya, Peranan Nilai-Nilai Murni dan Akhlaq dalam Ekonomi Islam, menyebutkan beza ekonomi Islam dan ekonomi barat ialah mereka menjadikan ekonomi matlamat hidup mereka. Matlamat pendidikan. Matlamat kewujudan. Sedangkan ekonomi Islam hanya diperlukan utnuk menggerakkan dakwah di serata muka Bumi.


Kemasyarakatan


Ada golongan yang sibuk membina masjid, bangga menyatakan statistik pembinaan masjid yang mereka jalankan, namun mereka lupa statistik yang bersolat dalam masjid itu!


Musuh Allah berjaya lagi memesongkan kita daripada matlamat hakiki kita. Adakah anda termasuk dalam ‘kita’?


Read more...