-ibn_somit-
Maha Suci Allah swt yang Maha Agung lagi Maha Kaya. Segala yang ada di bumi dan langit beserta seluruh isinya adalah milik-Nya.
Mari sejenak kita berfikir kos untuk hidup di dunia yang sementara ni. Duit untuk makan, duit sewa rumah, duit buku, yuran pengajian, duit minyak kereta, bil air, bil elektrik, duit belanja anak-anak, dan macam-macam lagi duit dan bil yang perlu dilunaskan apabila cukup bulan.
Memikirkannya sahaja sudah cukup untuk menyerabutkan neuron-neuron dalam otak, membuatkan kita mengeluh, belum lagi memerah kudrat untuk melunaskannya.
: : bil daripada Allah? : :
Setiap benda dalam dunia berbayar. Hatta nak menunaikan hajat pun ada cajnya di tandas awam. Bagaimana pula dengan nikmat Allah yang tak terhitung? seperti udara yang segar, air sungai yang mengalir dingin,anggota badan yang sihat, pancaindera, alam sekitar, keluarga, masyarakat, keamanan dan sebagainya. Maksud firman Allah swt sebagai peringatan kepada manusia,
"Dan sekiranya engkau menghitung nikmat-nikmat Allah, (pasti) ia takkan terhitung."
[ Ibrahim : 34 ]
Cuba kecilkan skop semua nikmat yang Allah kurniakan, kepada nikmat udara sahaja. Bumi adalah tempat yang paling sesuai untuk dihuni manusia berbanding planet lain di dalam cakerawala yang sangat besar ini. Hanya di bumi terdapat komposisi gas yang sesuai bagi manusia, gabungan nitrogen, oksigen dan selebihnya merangkumi karbon dioksida, gas nadir serta wap air.
Bayangkan, Allah swt keluarkan bil oksigen yang kita hirup sejak lahir hingga sekarang. Kadar oksigen untuk setiap kali bernafas ialah RM 1. Kajian menunjukkan, manusia dewasa bernafas sebanyak 18,000 hingga 30,000 kali sehari. Katakan secara purata 20,000 kali sehari, ini bermakna dalam tempoh hayat 21 tahun, seseorang sudah bernafas sebanyak 21 X 365 X 20,000 = 153,300,00 kali. Bersamaan dengan nilai bil yang perlu dibayar, ialah sebanyak RM 153 juta! [ hanya anggaran, semestinya nilai sebenar adalah tidak ternilai ]
: : syukur = bill payment! : :
Jika wang ringgit merupakan medium untuk melangsaikan bil dan bayaran kita sesama manusia, maka syukur adalah medium untuk membayar kembali nikmat kurniaan Allah kepada kita. Maksud firman Allah swt,
"Makanlah olehmu rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kepada-Nya."
[ Saba' : 15 ]
Pernah suatu ketika dahulu, orang ramai merasakan sukar untuk mendefinisikan erti sebenar syukur secara tepat. Lalu seorang tabi'in yang bernama al-Junadah mengatakan,
"Syukur itu tidak menggunakan nikmat kurniaan Allah swt untuk melakukan maksiat pada-Nya"
Selain itu, memperbanyak ucapan alhamdulillah [ Segala Puji Pada Allah ] dan menggunakan nikmat yang terdapat pada diri untuk membantu sesama manusia dan makhluk juga cara terbaik untuk bersyukur.
Bersyukur dengan nikmat yang nampak sedikit dan kecil. Sekiranya tidak mampu untuk bersyukur dengan nikmat yang sedikit, bagaimana mahu bersyukur dengan nikmat yang lebih besar dan banyak.
Di dunia ini, kita membayar untuk mendapat sesuatu kemudahan. Tapi nikmat Allah yang tak terhingga itu datangnya secara percuma, tanpa perlu dibayar. Hanya syukur pada-Nya yang perlu dipanjatkan seikhlasnya..
wallahu a'lam..
[adaptasi daripada buku "Online dengan Tuhan" karangan Zulkifli Khair terbitan PTS]
Sekadar maklumat...akh Zulkifli Khair adalah AJK IKRAM Johor Bahru tengah.
ReplyDelete