Saturday, 20 November 2010
KONSEP IBADAH
“Kalau kamu berzikir sebanyak 10,000 kali di dalam hutan selama 7 hari dan tujuh malam, maka kamu akan dikurniakan kelebihan untuk melihat alam ghaib”. Kata seorang ‘tok guru’ kepada anak muridnya.
Begitulah antara contoh yang biasa kita dengar. Mereka beribadat kepada Allah swt dengan tujuan untuk mengosongkan jiwa seperti yang dilakukan oleh pengamal yoga. Ada pula yang berminat untuk mencapai tahap karamah agar mereka dapat mengetahui alam ghaib, melihat jin dan malaikat, melakukan perkara-perkara yang pelik seperti berjalan di atas air, berada di dua tempat di dalam satu masa dan seumpamanya.
Mereka ini termasuk di dalam firman Allah di dalam surah al Hajj ayat 11: “Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi. Maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah dia dalam keadaan itu, dan jika dia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah dia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat. Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.”
Sebahagian ulama mentafsirkan kalimah harf sebagai syarat. Seolah-olah mereka mensyaratkan kepada Allah jika mereka mendapat apa yang mereka hajatkan, mereka akan bergembira dan berasa tenang dengan ibadah yang mereka lakukan. Dan jika mereka tidak berhasil apa-apa yang mereka hajatkan, maka segala ibadah yang mereka amalkan selama ini ditinggalkan. Lalu rugilah mereka itu di dunia dan di akhirat.
Persoalan
Persoalannya sekarang, apakah maksud ibadah yang sebenarnya? Adakah ibadah dilakukan kerana ia adalah ibadah atau ianya sekadar wasilah untuk mencapai perkara-perkara tertentu? Dan adakah ibadah menjadi sebab seseorang itu menjadi insan soleh atau seseorang itu menjadi insan soleh kerana ketulusan ibadahnya?
Akhir-akhir ini telah timbul satu fahaman buruk dan bodoh sombong mengenai agama. Mereka mengatakan bahawa tujuan beragama dan beribadah adalah untuk menyucikan jiwa dan mendidik hati. Oleh yang demikian, apabila seseorang itu dapat memenuhi tujuan tersebut dengan apa-apa cara yang lain, maka tidak perlulah lagi mereka kepada agama dan ibadah. Agama dan ibadah bagi mereka sekadar wasilah bukannya tujuan. Oleh kerana merasakan bahawa mereka telah mencapai apa yang Allah kehendaki maka tidak perlulah lagi agama, solat, puasa, zakat, haji dan lain-lain. Kenapa perlu menyusahkan diri dengan semua perkara tersebut sedangkan ada jalan lain untuk mencapai tujuan.
Di sana sekarang ada dua pihak yang melampau dalam memahami agama dan ibadah. Pihak pertama menganggap ibadah dapat menjadikan diri mereka seorang yang mempunyai kesaktian dan karamah. Dan pihak yang satu lagi pula menganggap bahawa mereka tidak perlukan kepada agama dan ibadah untuk menyucikan hati dan jiwa jika ada cara yang lain untuk mencapai tujuan tersebut.
Tujuan Ibadah
Kedua-dua fahaman melampau tersebut ditolak oleh Islam (al Quran dan as Sunnah). Ini kerana ibadah itu sendiri dituntut agar dilaksanakannya dan ianya sendiri merupakan tujuan manusia diciptakan. Ia bukanlah semata-mata wasilah seperti yang disangkakan. Firman Allah: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”
Ibadah merupakan hak serta tanggungjawab seorang hamba kepada Tuhannya. Ibadah juga bermaksud agar manusia merasakan dirinya lemah yang hanya bergantung hidup kepada Allah dan merasakan bahawa Allah adalah Tuhannya yang Maha Tinggi dan Maha Besar yang tidak memerlukan kepada sesiapun.“Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, nescaya Dia memusnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu). Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sulit bagi Allah.” (Surah Faathir: 15-17)
Menzahirkan kehambaan kepada Allah dan mematuhi segala suruhan-Nya merupakan ‘illah (sebab) kepada semua ibadah daripada solat, puasa, zakat, haji, tilawah al Quran, zikir, doa, istighfar dan iltizam dengan hukum halal dan haram. Adapun islah an nafs (membaiki diri), meningkatkan akhlak yang terpuji dan menyucikan hati daripada sifat-sifat yang keji, adalah hasil daripada ibadah yang betul dan sempurna seperti yang dikehendaki oleh Allah. Firman Allah swt: “Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang Telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.” (Surah al Baqarah: 21)
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al Baqarah: 183)
Kalimah (لعّل) di dalam kedua-dua ayat tersebut membawa maksud at tarajji (mengharap) dan bukannya bermaksuk at ta’lil (penyebab). Oleh itu, ibadah dan puasa disyariatkan dengan harapan dan mudah-mudahan orang yang melakukannya menjadi orang yang bertakwa. Dan bukanlah dengan melakukan ibadah dan puasa menjadi sebab kamu bertakwa. Begitu juga dengan firman Allah: “Sesungguhnya Aku Ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingatiKu.” (Surah Taha: 14)“Bacalah apa yang Telah diwahyukan kepadamu, yaitu al Kitab (al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (shalat) adalah lebih besar.” (Surah al Ankabut: 45)
Tujuan utama solat seperti yang dinyatakan oleh Allah di dalam kedua-dua ayat di atas adalah untuk hamba bermunajat kepada-Nya serta mengingati-Nya. Walaupun mendirikan solat dapat mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar tetapi maksud solat itu sendiri iaitu untuk mengingati-Nya adalah lebih besar.
Sesiapa yang beribadah seperti solat dan puasa semata-mata untuk menyucikan hatinya (tazkiyah nafs), mendidik dirinya berakhlak mulia dan memperolehi kelebihan tertentu tanpa merasai tanggungjawab sebagai hamba, tunduk, patuh, cinta, rendah diri dan merasa kerdil di hadapan Allah; maka jadilah segala ibadahnya itu sekadar adat dan rutin harian yang dilakukan setiap hari. Ianya tidak ubah seperti orang yang makan dan minum setiap hari demi kesihatan dan keperluan tubuh badannya, tidur untuk kerehatan dirinya dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment