Nyawa Islam masih dalam bahaya. Ombak musibah masih lagi menapis umat Islam dengan mengorbankan beribu-ribu nyawa. Kematian umat islam bukan sahaja mengurangkan bilangan tentera mujahid islam, tetapi ia juga melayangkan jiwa-jiwa umat Islam biasa. Pertamanya ialah kematian dalam pergolakan dan peperangan yang berlaku atas dasar permusuhan agama yang telah merobek dan menjajah beberapa negara Islam. Kedua ialah kematian yang berlaku disebabkan kejahilan umat islam sendiri iaitu permusuhan sesama sendiri yang menyebabkan berlakunya pembunuhan. Ketiga ialah kematian dalam musibah bala bencana alam dari Allah ta’ala seperti gempa bumi, ombak tsunami, gunung berapi dan banyak lagi. Dengan ketiga-tiga bentuk kematian ini sebenarnya boleh mengurangkan kuantiti umat Islam dengan pesat.
Adakah kuantiti penting bagi Islam?
Kuantiti umat sebenarnya amat penting dalam proses kebangkitan Islam dan agama Islam sebenarnya menggalakkan proses penambahan umat. Tetapi ia mestilah diseimbangi dengan penekanan kualiti. Jika tidak, kuantiti yang banyak tidak akan bermakna.
Al-quran mencela golongan majoriti apabila di dalamnya hanya diisi dengan orang-orang yang tidak berakal, tidak berilmu, tidak beriman dan tidak bersyukur -Yusuf al-Qardhawi –sepertimana yang disebutkan di dalam al-quran dalam beberapa ayat :
"... akan tetapi kebanyakan mereka tidak memahaminya." (al-Ankabut: 63)
"... akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (al-A'raf:187)
"... akan tetapi kebanyakan manusia tidak beriman." (Hud:17)
"... akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur." (al-Baqarah: 243)
Hadits Nabi menggesa supaya memperbanyakkan jumlah umatnya: "Menikahlah kamu, kemudian berketurunanlah, agar jumlah kamu menjadi banyak, karena sesungguhnya aku bangga dengan jumlahmu yang banyak atas umat-umat yang lain." Jadi, bilangan manusia yang banyak hanya menempah kesusahan dan huru-hara jika tidak ada orang-orang saleh dan beriman serta mempunyai kefahaman yang mampu bergerak meningkatkan kualiti syakhsiah umat. Yang penting ialah memperbanyakkan golongan mukmin yang soleh dan faham tujuan hidup mereka bukan yang merosakkan hidupnya dan masyarakat. Tidak bermakna kuantiti tanpa kualiti.
Mendidik kuantiti kepada kualiti.
Kuantiti umat islam yang kita miliki sekarang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, bahasa dan adat yang berbeza. Namun kepelbagaian ini mempunyai guru dan petunjuk yang satu. Jadi amat baik jika kita ambil beberapa panduan dari masdar(al-quran) ini untuk mendidik dan mentarbiah kuantiti yang dimiliki kepada kualiti. Kita hanya akan mengutarakan beberapa noktah-noktah penting sahaja pada keluaran kali ini dan kami akan melanjutkan penerangannya pada keluaran akan datang insya Allah.
Kualiti yang kita maksudkan ialah dengan menjadikan kita dan umat islam seluruhnya beramal dengan ajaran islam yang sebenar bermula dari kefahaman yang betul. Bukan hanya menganut pada nama tetapi dengan iman yang tidak ada padanya sebarang keraguan dan syak. Eloklah kita berfikir sejenak tentang beberapa firman Allah yang boleh dijadikan nuqtah al-intilaq dalam proses tarbiah.
1– Ikhlas
Firman Allah ta’ala: “Katakanlah sesunguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadanya dalam(menjalankan) agama.” (az-zumar : 11)
2– Beramal
Firman Allah ta’ala: “Mengapa kamu suruh orang lain mengerjakan kebajikan, sedangkan kamu melupakan diri(kewajipanmu) sendiri, padahal kamu membaca al-kitab? Maka tidakah kamu berfikir?” (al-Baqarah : 44)
3- Taat
Firman Allah ta’ala: “Sesungguhnya jawapan orang-orang mumin bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasulNya agar rasul dihukum dan mengadili di antara mereka ialah ucapan “kami dengar dan kami patuh” dan itulah orang-orang yang beruntung.” (an-Nur : 51)
4– Pengorbanan
Firman Allah ta’al: “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah ta’ala dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hambaNya.” (al-Baqarah : 207
-Abu Huzaifah -
No comments:
Post a Comment