Subscribe

Powered By

Free XML Skins for Blogger

Powered by Blogger

Integrasi Tarbawi

Integrasi Tarbawi

Friday, 25 February 2011

Bukti Kebenaran Al-Quran Dalam Kejadian Awan Komolunimbus

Para saintis telah mengkaji awan dan telah mendapati bahawa awan hujan terbentuk mengikut sistem yang tetap dan langkah-langkah tertentu yang berkaitan dengan jeniss aangin dan awan yang tertentu.

Salah satu jenis awan ialah awan komolunimbus. Awan ini telah ditemui pada tahun 1985, selepas penciptaan radar kapal terbang.


Kajian mendapati terdapat 3 proses penting dalam pembentukan awan komolunimbus:


1) Pengarakan Awan: awan komolunimbus mula terbentuk apabila angin menolak awan-awan kecil (awan kumulus) ke suatu tempat di mana semua awan ini tertumpu. (lihat Rajah 17 dan 18)



Rajah 17: Gambar satelit menunjukkan awan-awan menuju ke arah tempat-tempat tumpuan B, C, dan D. Anak panah menunjukkan arah pergerakan awan.



Rajah 18: Awan-awan kecil (awan kumulus) bergerak menuju ke arah zon tumpuan berhampiran horizon, di mana kita dapat lihat awan komolunimbus yang besar.


1) Penggabungan: Kemudian awan-awan kecil ini bergabung bersama membentuk awan yang lebih besar. (lihat Rajah 18 dan 19)



Rajah 19: (A) Awan-awan kecil yang terpisah (awan kumulus). (B) Apabila awan-awan bergabung bersama, bertambah sejuk dalam awan yang lebih besar, oleh itu awan melekat antara satu sama lain. Titisan air bertanda .


1) Penimbunan: Apabila awan-awan kecil bergabung bersama, updrafts dalam awan yang lebih besar bertambah. Updrafts yang berada dekat dengan tengah awan adalah lebih kuat daripada updrafts yang berada di tepi. Updrafts ini menyebabkan awan membesar secara menegak, supaya awan-awan bersatu bersama (lihat Rajah 19 (B), 20, dan 21). Pembesaran menegak inimenyebabkan fizikal awan menganjal ke bahagian lebih sejuk dalam atmosfera, di mana titisan air dan air batu terbentuk dan mulai membesar. Apabilan titisan-titisan air dan air batu ini menjadi sangat berat untuk updrafts membawanya, mereka mulai jatuh daripada awan ini sebagai hujan, hujan batu, dan sebagainya.



Rajah 20: Sebuah awan komolunimbus. Setelah awan-awan tersusun ke atas, hujan turun daripadanya.

Bagaimana Kejadian awan komolunimbus menjadi mukjizat?


Allah telah menyebut dalam Al-Quran:



{Tidakkah kamu melihat bahawa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan antaranya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya..} (An-Nur : 43)



1. Ibnu Katsir dalam mentafsir kalimah يزجي سحابا : “Allah menggerak awan pada permulaan pembentukan dengan perlahan-perlahan”.

Kalimah ini menunjukkan fasa pertama dalam pembentukan awan komolunimbus.


2. Ibnu al-Jauzi dalam mentafsir ثم يؤلف بينه : “ bergabung antara satu sama lain, dan menjadikan pecahan-pecahan sebagai satu”.

Kalimah ini menunjukkan fasa kedua pembentukan awan komolunimbus.


3. Ibnu Jarir at-Tobari dalam mentafsir ثم يجعله ركاما : “bertingkat-bertingkat diatas satu sama lain”.

Tafsir ini menunjukkan fasa ketiga dalam pembentukan awan komolunimbus.


Ahli Meteorologi hanya menemui pembentukan awan, bentuk awan, dan fungsinya menggunakan alatan moden seperti kapal terbang, satelit, computer, belon kajicuaca, dan lain-lain peralatan lagi, untuk mengkaji mengenai angin dan arahnya, untuk menyukat kelembapan dan perubahannya, dan untuk menentukan tahap dan perubahan tekanan atmosfera.


Siapakah yang memberitahu pengetahuan ini kepada Nabi Muhammad S.A.W , dimana tiada kemungkinan wujudnya alatan-alatan canggih untuk mengkaji proses pembentukan awan? Sudah tentunya Tuhan yang mencipta alam ini..


Read more...

Tuesday, 22 February 2011

KEWAJIPAN TADABBUR AL-QURAN

Oleh: Abu ‘Ameer

{ أفلا يتدبرون القرءان ولو كان من عند غير الله لوجدوا فيه اختلافا كثيرا }


Firman Allah Ta’ala dalam surah An-Nisaa’ yg bermaksud : (( Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al- Quran? Kalau kiranya Al- Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka akan mendapati banyak pertentangan di dalamnya.))


Berdasarkan ayat di atas, Allah telah bertanya kaum munafik yang berpura- pura taat kepada nabi Muhammad S.A.W tentang keintegritian mereka dalam mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya mereka memperhatikan al- Quran itu pasti mereka akan menyedari hakikat kebenaran ganjaran pahala, dosa dan agama Islam itu sendiri.





{ كتاب أنزلناه إليك مبارك ليدبروا ءاياته و ليتذكر أولو الألباب }


Firman Allah Ta’ala lagi dalam surah yang lain : (( Ini adalah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan Berkah supaya mereka memperhatikan ayat- ayatnya dan supaya menjadi peringatan dan pelajaran bagi orang- orang yang mempunyai fikiran dan akal )) Surah Saad.


Allah Ta’ala juga telah menerangkan kepada kita antara tujuan penurunan al- Quran kepada manusia adalah untuk manusia memperhatikan ayat- ayat al- Quran. Bermula dengan tadabbur, akan lahir faham, ilmu dan zikir. Dan dengannya juga kita dapat menajamkan fikiran, menguatkan jati diri dan mengasah minda yang cerdas.


Allah menggunakan perkataan مبارك yang membawa maksud dari segi bahasa arab pertumbuhan dan penambahan. Dengan al- Quran kita dapat menambahkan ketajaman akal fikiran dan keimanan. Dan pertambahan akan berlaku kepada semua aspek, duniawi mahu pun ukhrawi.


Dan kewajipan bertadabbur ini bukanlah untuk mereka yang mendalami kepakaran ilmu agama Islam sahaja bahkan ke atas seluruh umat ini. Ayuh kita bertadabbur ayat- ayat Allah ini....


Wallahu a’alam…



Read more...

Friday, 18 February 2011

Niat saya baik.. Cukup ke..?

oleh: Abu Abdillah

Ramai orang ingin berbuat baik. Peniaga, orang politik, rakyat biasa, orang miskin, orang kaya, dan sesiapa sahaja yang muslim waima kafir sekali pun. Namun begitu di sana terdapat hadith Nabi sallAllahu’alayhiwasallam yang sangat penting dalam perkara ini, sehingga ramai ulama’ meletakkan hadith ini sebagai antara dasar atau usul Islam.

Tentu kita semua pernah mendengar kata-kata ‘matlamat tidak menghalalkan cara’ atau dalam bahasa Arabnya ‘الغاية لا تبرر الوسيلة’. Kaedah ini bermaksud walau bagaimana baik sekali pun matlamat sesorang itu namun jika dia berbuat kesalahan maka perbuatan dia tetap salah. Seumpama Robin Hood yang mencuri untuk disedekahkan kepada orang miskin.


Berpaksikan inilah Nabi sallAllahu’alayhiwasallam juga menyebut,
من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد - رواه البخاري ومسلم
“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini apa yang bukan darinya maka dia tertolak.” (al Bukhari dan Muslim)

Disebabkan kepentingan hadith ini, al Imam an Nawawi as Shafie menjadikan hadith ini hadith kelima dalam Hadith 40 karangannya. Kepentingan hadith ini jelas kerana hadith ini menunjukkan antara dasar Islam iaitu setiap amalan dalam urusan kami, yang bemaksud agama kami berdasarkan riwayat yang lain, haruslah mengikut apa yang telah diajarkan dalam al Qur’an dan as Sunnah.

Syarat penerimaan amal seperti yang disebutkan dalam perbincangan hadith ‘إنما الأعمال بالنيات’ atau “setiap amalan itu bergantung kepada niatnya” ialah pertama, ikhlas kerana Allah jalla wa’ala dan kedua, mengikut apa yang diajarkan oleh al Qur’an dan as Sunnah.

Sibukkan dengan Kreatif dalam Urusan Dunia


Allah subhanahu wa ta’ala menyebutkan,
مَا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ
“Allah tidak menjadikan seorang lelaki itu mempunyai dua jantung dalam badannya.”
Ayat ini memberi pemahaman kepada kita semua bahawa seorang manusia itu tidak mampu fokus dua kerja dalam satu masa. Jika dia melakukan dua kerja sekaligus, tentu salah satu atau keduanya tidak dapat dibuat sehabis baik.

Begitu juga dalam penggunaan kreativiti akal. Sekiranya kita sibuk dalam kreatif urusan agama maka akal itu tidak dapat lagi difokuskan dalam urusan dunia. Begitu juga sebaliknya. Hasil inilah kita dapat lihat generasi Islam terdahulu sangat cemerlang dalam dunianya dan mempelopori banyak ilmu-ilmu duniawi seperti geografi seperti al Idrisi, perubatan seperti Ibnu Sina, hatta orang-orang Ansar sendiri pandai dalam mengkacukkan benih-benih pokok untuk mendapat hasil yang lebih berkualiti.

Rasulullah sallAllahu’alayhiwasallam memberitahu mereka,
أنتم أعلم بأمر دنياكم - رواه مسلم
“Kamu lebih mengetahui dalam urusan dunia kamu.” (Muslim)

Jangan bimbang sekiranya kita beramal mengikut apa yang diajar oleh Allah subhanahu wa ta’ala dan Rasul-Nya sallAllahu’alayhiwasallam, kerana keduanya menjamin syarat maqbul di sisi Allah jalla wa’ala, bahkan sekira kita mengikut sepenuhnya sekadar mampu, kita insha Allah mendapat darjat yang tinggi di shurga Allah ta’ala kelak. WAllahu a’lam.

Read more...

Monday, 14 February 2011

Padah mengikut

Oleh: ibn_somit
. . .



Suatu masa, 2 ekor keldai membawa barang dagangan milik tuannya. Seekor membawa beberapa guni garam seekor lagi membawa beberapa guni kapas.


Ketika dalam perjalanan, ada sebatang sungai yang mengalir merentasi laluan mereka. Juga ada jambatan yang tersedia sebagai kemudahan untuk melaluinya.


Tiba-tiba, keldai yang membawa garam masuk ke dalam sungai, tidak melalui jambatan yang tersedia. Sedikit demi sedikit garam yang membebaninya larut dengan air sungai. Apabila sampainya ia di seberang sungai, garam yang dipikul sudah pun larut semuanya. Dengan penuh gembira ia meneruskan perjalanan.


Keldai yang membawa kapas melihat apa yang berlaku. Perasaannya ingin menjadi seperti keldai yang membawa garam, membuak-buak. Bebas daripada bebanan setelah masuk ke dalam sungai. Tanpa berlengah, terus sahaja ia terjun ke dalam sungai. Harapannya ingin bebas daripada bebanan, walaupun tidak seberat bebanan keldai yang membawa garam.


Kapas yang dibawanya mula meresap air sungai dan memberat. Keldai itu tidak dapat menampungnya lagi. Akhirnya ditenggelami air dan mati kelemasan.

. . .


Kisah ringkas ini adalah perbandingan antara orang Islam dan orang barat, atau Nasrani yang beragama Kristian khususnya.


Keldai yang membawa garam, masuk ke dalam sungai dan bebas daripada bebanan yang berat, ialah orang Nasrani yang meninggalkan agama Kristian. Mengamalkannya sebagai cara hidup seolah-olah menyusahkan diri sendiri. Kerana hakikat agama Kristian sekarang adalah agama yang diseleweng oleh tangan-tangan paderi mereka.


Lain pula bagi keldai yang membawa kapas, terjun ke dalam sungai lalu mati kelemasan. Keldai ini boleh diumpamakan sebagai orang Islam, yang mengikut budaya Nasrani atau barat. Tindakan mereka yang ingin menjadi bebas dengan meninggalkan Islam sebagai cara hidup, dan membuta tuli mengikut budaya orang kafir, menjerumuskan mereka ke dalam lembah kehinaan, serta dinantikan dengan azab yang pedih[na'udzubillah].


Islam adalah satu cara hidup yang paling ideal, mudah dipraktik, sesuai pada setiap zaman dan waktu serta merupakan satu sistem khusus yang diturunkan oleh Pencipta Seluruh Alam kepada manusia. Memilih untuk mengikuti cara hidup selainnya dan meninggalkannya, adalah kesilapan terbesar, yang bakal disesali di akhirat kelak. Wallahu a'lam..


"Pada hari ini Aku (Allah) sempurnakan agamamu untukmu, dan telah aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan Aku redha islam sebagai agamamu." [Al-Ma idah 5 : 3]


Read more...

Asy-Syeikh Said Hawwa

1935 – 1989

Oleh: Abu Malik



Nama sebenar beliau ialah Said bin Muhamad Dib Hawwa, dilahirkan di Bandar Hammah, Syria pada tahun 1935. Ibunya meninggal dunia ketika beliau berumur 2 tahun. Dibesarkan di pangkuan neneknya. Ayah beliau merupakan seorang mujahid yang berani, menentang Perancis.


Ketika zaman mudanya, berkembang pesat pemikiran Nasionalisme, Sosialisme, Ba’ats dan Ikhwan Muslimin. Pada tahun 1952, beliau menyertai Ikhwan Muslimin kekita beliau masih berada di peringkat sekolah menengah.


Pernah berguru dengan beberapa orang sheikh Syria. Antaranya ialah Syeikh Muhammad Al-Hamid, Syeikh Muhammad Al-Hasyimi, Musthafa As-Siba’i, Musthafa Az-Zarga, Fauzi Faidhullah dan lain2.


Mendapat kelulusan dari Universiti Syria pada tahun 1961 dan mengikuti latihan tentera (macam PLKN). Berumah tangga pada tahun 1964 dan dikurniakan 4 orang cahaya mata.


Beliau seorang pembaca yang baik. Katanya dalam kitabnya Hazihi Tajribati :

“ Purata pembacaanku adalah 60 mukasurat dalam masa 1 jam. “


Beliau seorang sangat aktif berdakwah. Pernah memberi kuliah atau pengajian di Syria, Arab Saudi, Kuwait, Emirates, Iraq, Jordan, Mesir, Qatar, Pakistan, Amerika dan Jerman. Menyertai demonstrasi menentang Undang-undang Syria tahun 1973 dan dipenjarakan selama 5 tahun. Mengarang kitab Al-Asas Fit Tafsir (12 jilid) dan beberapa kitab dakwah di dalam penjara.


Beliau mengarang buku-buku berkaitan dakwah dan harakah yang sangat diminati generasi muda. Antara karangan atau buku tulisan beliau : Allahu Jalla Jalaluh, Al-Islam, Tarbiyatuna Ruhiyyah, Mustakhlas Fi Tazkiyatul Anfus, Jundullah Thaqafan wa Akhlaqan dan lain-lain.


Pada 1987, beliau terkena stroke sehingga sebahagian tubuhnya lumpuh ditambah dengan penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dll. Kesannya beliau terpaksa berada jauh dari masyarakat dan dimasukkan ke hospital. Menghembuskan nafas terakhirnya tanggal 9 Mac 1989 di Hospital Islam di Amman, Jordan.


Perjalanan dan pengembaraan beliau menyebarkan dakwah sangat luas. Melebihi 10 buah negara. Semoga Allah merahmati dan memberi ganjaran seribu kebaikan atas jasa beliau terhadap Islam dan kaum muslimin.



Read more...

Thursday, 10 February 2011

Tarbiyah keluarga Imam Malik

oleh: nakhil_7

Terbaca kisah bagaimana cara ibu bapa Imam Malik mendidik Imam Malik sehingga beliau sendiri memilih jalannya sendiri. Sewaktu kecil, Imam Malik adalah seorang budak yang minat menyanyi dan bermain dengan burung merpati sehingga sedikit waktu sahaja beliau habiskan untuk mengulangkaji pelajaran.

Berdasarkan keputusan dalam pengajian, beliau adalah dikalangan yang terkebelakang berbanding dengan saudara-saudaranya yang lain kerana tidak peduli dengan pelajaran dan sibuk dengan minatnya sendiri. Ibu dan ayahnya amat menaruh harapan Imam Malik akan mejadi seperti mendiang datuknya yang alim dan faqih dalam ilmu agama.


Sehinggalah pada suatu hari ayahnya mengambil keputusan untuk mengadakan pertandingan soal jawab ilmiah setiap kali selesai solat jumaat. Hasilnya, adik kepada Imam Malik jauh lebih kehadapan berbandingnya.

Ayahnya tersenyum melihatnya sambil berkata:

“Burung merpatimu telah lalaikan kamu daripada menuntut ilmu.”

Perkataan itulah yang hanya diucapkan oleh ayahnya. Bukan berbentuk arahan atau kerahan. Sebaliknya ialah petunjuk secara tidak langsung kepada anaknya. Selepas itu Imam Malik pun berkata:

“Aku berasa marah apabila adik mendahuluiku dan aku mengambil keputusan untuk menunjukkan kepada ayah pencapaianku dalam bidang lain. Aku membuat keputusan untuk berjaya dalam nyanyian.”

Disinilah pula kita dapat melihat peranan seorang ibu yang inginkan kejayaan anaknya ketika ia berkata:

“Wahai Malik, seorang penyanyi itu jika tidak mempunyai suara yang merdu walaupun baik paras rupanya tetap tidak akan dipandang manusia.”

Ibunya tidak melontarkan ucapan berunsur penghinaan. Ia tidak mengatakan bahawa suaranya buruk atau memberikan arahan sepertimana ibu bapa pada hari ini yang hanya mengeluarkan arahan kerahan dan paksaan kepada anak sendiri.

“Pergi minum!, Cepat makan!, Baca buku tu sekarang…..”

Ini bukanlah tarbiyah! Tarbiyah ialah dengan cara meningkatkan kemampuan anak. Kemudian Imam Malik berkata:

“Habis, apa yang patut saya lakukan?”

“Kamu tidak akan kehadapan dalam nyanyian, tetapi kamu mungkin akan kehadapan dalam ilmu.” kata ibunya.

Pada malam hari, sebelum tidur beliau berfikir sejenak. Pada keesokan harinya ibunya datang.

“Nak. Ini hadiah baju aku belikan untukmu.”

Ibunya menghadiahkan sepasang baju ulamak. Imam Malik memakai baju tersebut dan meletakkan songkok ulamak di atas kepala dan terus keluar dari rumah.

“Apabila aku keluar dengan pakaian begitu, orang ramai melihatku. Maka aku berasa hebat pada ketika itu.”

Terus Imam Malik masuk semula ke rumah seraya berkata:

“Aku mahu ilmu, aku mahu ilmu!”.

Lihatlah! Beliau sendiri yang meminta dan ingin menimba ilmu. bukan paksaan atau atas kemahuan ibu bapa atau orang lain. Tetapi ia adalah kehendak sendiri dan timbul dari kemahuan sendiri. Maka itulah yang menjadikan beliau seorang alim dan faqih dalam bidangnya.

“Pergilah kepada seorang alim di madinah bernama Rabi’ah. Tuntutlah adabnya dahulu sebelum ilmunya.” Kata ibunya.


*iqtibas dari kitab amr khaled. Wallahua’lam


Read more...

Tuesday, 8 February 2011

PERANAN PEMUDA DALAM MENANGGUNG RISALAH ISLAM


MUQADDIMAH

Penulis memilih kalimah syabab (pemuda) dan bukannya rijal, berdasarkan 2 isi pokok :
(a) banyak hadith yang diungkapkan oleh Nabi SAW dengan kalimah syabab, antaranya :

(i) Sabda SAW: “Sesungguhnya Allah amat takjub kepada pemuda yang tidak terpesong “ (HR Abu Yaala)

(ii) Hadith: “Tujuh golongan yang akan dilindungi oleh Allah pada hari kiamat ketikamana tiada perlindungan-Nya … salah satunya ialah para pemuda yang membesar dalam keadaan beribadat kepada Allah” (HR Bukhari dan Muslim)
(iii) Nabi SAW bersabda: “Rebutlah lima sebelum lima … salah satunya masa mudamu (syababaka) sebelum masa tuamu” (HR Al-Hakim)

(b) dalam setiap generasi Muslim terdapat begitu ramai para du’at dan pejuang Islam yang
berjuang menyampai serta berjihad mempertahankan agama Islam, dengan contoh :
(i) para sahabat yang awal memeluk Islam, kesemua mereka berumur di bawah 40-an (iaitu tempoh kepemudaan) seperti 10 sahabat yang dijanjikan syurga

(ii) para pemuka serta pahlawan Islam zaman seterusnya yang berjuang Fi Sabilillah adalah dari kalangan pemuda yang telah membuka tanah-tanah jajahan negra Islam


PERANAN PEMUDA SERTA

Oleh itu, penulis telah menggariskan 7 garis panduan yang mesti dimiliki oleh para pemuda bagi memegang risalah Islam, iaitu :

Pertama : Perlu Mengetahui Tujuan Penciptaannya Sebagai Insan
Berdasarkan firman Allah SWT : “Dan tidak Aku ciptakan jin dan maknusia melainkan untuk beribadat” (Surah Az-Zariat: 56)

Maksud ibadah tertakluk pada 4 perkara: ikhlas, tunduk patuh pada hukum Allah, memberi wala’ dan ketaata kepada Rasul SAW dan kaum Muslimin, dan mesti mengetahui tugas kita selaku di atas bumi untuk beribadat kepada Allah serta melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar

Kedua : Perlu Menggambarkan Segala Mara Bahaya Yang Menyerang Negara Islam
Yakni kita mesti mengetahui selok-belok musuh-musuh Islam yang berusaha menyesatkan umat Islam seperti Yahudi dan Zionis, Nasrani dan Orientalis, Komunis dan Sosialis dan lain-lain serta ejen-ejen mereka termasuk dari umat Islam sendiri dan berusaha menangkis segala tipu daya mereka

Ketiga : Perlu Yakin Dengan Kemenangan Islam Serta Elakkan Dari Rasa Putus Asa
Wajib bagi para pemuda Islam menaruh keyakinan dengan kemenangan Islam di samping berusaha bersungguh-sungguh untuk menegakkan risalah Islam walaupun kebanyakan umat Islam hari ini ditindas serta dikuasai oleh musuh Islam.

Oleh itu, adalah salah jika kita berputus asa dalam merealisasikan kemenangan Islam, kerana 2 perkara :
(a) Allah SWT mengharamkan rasa putus asa, serta mencela mereka yang berputus asa
(b) di dalam sejarah Islam, umat Islam sentiasa bangkit meyebarkan risalah dakwah, juga melawan musuh-musuh Islam

Keempat : Perlu Menjadikan Ahli Qudwah Di Dalam Sejarah Islam Sebagai Suri Teladan
Qudwah yang pertama yang mesti dijadikan contoh adalah Nabi Muhammad SAW, seterusnya para sahabat, salafussoleh dan generasi selepas mereka yang diberi hidayah oleh Allah SWT
Amat penting bagi para pemuda mengambil iktibar dan contoh dari orang-orang yang mulia dalam segenap perkara serta cuba mengamalkannya dalam kehidupan harian

Kelima : Perlu mengetahui kelebihan berdakwah dan pendakwah

1. Sebaik-baik umat ialah mereka yang berdakwah kepada Allah.
“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Surah Ali Imran: 110)

2. Para pendakwah adalah orang-orang yang berjaya.
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar[217]; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali Imran: 104)
Ma'ruf: segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah; sedangkan mungkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita dari pada-Nya.

3. Amar makruf nahi munkar adalah sebaik-baik ucapan.
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" (Surah Fussilat: 33)

4- Para daie akan diberi rahmat oleh Allah ta’ala.
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah: 71)

5- Para Du’at akan menerima ganjaran yang berterusan.
“Barangsiapa yang menyeru kepada hidayah (kebaikan) maka baginya ganjaran seperti ganjaran baik mereka yang mengikuti ajarannya tanpa berkurang sedikitpun, dan Barangsiapa yang menyeru kepada kesesatan (keburukan) maka baginya ganjaran dosa seperti ganjaran mereka yang mengikuti ajarannya tanpa berkurang sedikitpun” (HR Muslim)

6- Para daie menerima ganjaran yang besar dan sebaik-baik ganjaran.
“Demi Allah! Jika kamu dapat memberi hidayah Allah (menunjukkan ke arah kebaikan) kepada seseorang maka ganjarannya adalah lebih baik dari seekor unta merah” (HR Bukhari)

Keenam : Perlu mengetahui uslub terbaik dan berkesan

1. Setiap amalan mesti menepati dengan ucapan
“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Surah As-Shaff: 1,2)

2. Dakwah didahului dengan mengkaji suasana setempat
Kata Ibnu Mas’ud: “Janganlah kamu berkata-kata kepada suatu kaum dengan kata-kata yang tidak sampai (difahami) oleh akal mereka melainkan akan timbul fitnah selepas itu”

3. Dakwah dimulakan dengan perkara yang terpenting, seperti hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang mana Nabi SAW berpesan kepada Muaz bin Jabal sebelum berdakwah ke Yaman agar beliau berdakwah kepada ahli kitab dengan mendahulukan perkara pokok terlebih dahulu

4. Berlemah lembut dalam berdakwah.
“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah Lembut terhadap mereka. sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Karena itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu[246]. Kemudian apabila kamu Telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (Surah Ali Imran: 159). Maksudnya: urusan peperangan dan hal-hal duniawiyah lainnya, seperti urusan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lainnya. Atau dalam ayat Allah SWT yang lain, maksudnya : “Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut".(Surah Toha)

Ketujuh : Mendalami kepercayaan kepada qada dan qadar

1. Meyakini bahawa hidup dan mati di tangan tuhan
"Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang Telah ditetapkan Allah untuk kami. dialah pelindung kami, dan Hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal." (Surah At-Taubah: 51)

2. meyakini bahawa rezeki terletak di tangan Allah.
“Sesungguhnya Tuhanmu melapangkan rezki kepada siapa yang dia kehendaki dan menyempitkannya; Sesungguhnya dia Maha mengetahui lagi Maha melihat akan hamba-hamba-Nya.” (Surah Al-Israk: 30)

3- sentiasa redha dengan ketetapan Allah SWT.
“Dan sungguh akan kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah: 155.) Atau dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman : “Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, Maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan dia sendiri. dan jika dia mendatangkan kebaikan kepadamu, Maka dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-An’am: 7)


-Ringkasan daripada buku daurus syabab fi hamli risalatil islamkarangan sheikh nasih ulwan

Read more...

Tuesday, 1 February 2011

Bukan ITU, tapi ATAS..


oleh: ibn somit

Ulang kaji semula pemahaman hadis rukun islam..

......................................................................................................


Dalam sebuah empayar yang luas jajahannya dan besar kuasanya, terdapat 2 orang kontraktor. Mereka diberi tugasan untuk menyiapkan sebuah binaan yang melambangkan keagungan empayar mereka dalam tempoh yang ditetapkan oleh pemerintah tertinggi. Siapa yang terbaik binaannya berhasil mendapat ganjaran terbaik.



Masing-masing mula bekerja. Setelah beberapa bulan, binaan mereka selesai dan siap untuk diperiksa. Pemerintah mula memeriksa. Kontraktor pertama membina sebuah bangunan yang cantik tersergam, menepati ciri-ciri yang diingini. Kontraktor kedua menyiapkan 5 lapis batu asas yang sangat kukuh dan kemas, dengan tambahan cat pelbagai warna, tapi di atasnya kosong. Langsung tidak ada dinding atau bumbung. Si pemerintah berkata,


"Batu asas yang kamu bina ini sangat kuat dan cantik, tapi mana pergi bangunan di atasnya?"


Kontraktor pun menjawab dengan yakin, "Bagi saya, membina batu asas yang begitu kuat lagi indah inilah lambang kehebatan empayar kita.."


Tamat pemeriksaan, pemerintah itu memberi yang setimpal atas apa yang diusahakan. Sagu hati kepada kontraktor kedua yang membina batu asas itu sebagai menghargai penat lelahnya membina batu asas yang sangat kukuh, dan menghadiahkan ganjaran terbaik kepada kontraktor pertama, di mana bangunannya melambangkan keagungan empayar.


_t_a_m_a_t___a_n_a_l_o_g_i_


empayar hebat = Islam


pemerintah = Allah


kontraktor 1 = muslim yg islamnya syumul merangkumi seluruh hidup


kontraktor 2 = muslim yg hanya menunaikan 5 rukun islam sahaja.


Gambaran contoh di atas menyamai orang islam yang mengatakan,


"Aku dah mengucap syahadah, solat, puasa, zakat dan buat haji, cukup la tu sebagai seorang Islam.."


Islam itu lima rukun dan lima rukun itu Islam, cukup dengan mengamalkan 5 asas Islam yang utama adalah memadai sebagai seorang muslim, adalah tanggapan yang dibauri salah faham. Satu sabda rasul saw yang cukup dikenali,


Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin Khattab ra berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda,


"Islam didirikan atas lima (rukun), penyaksian bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan ibadah haji dan berpuasa Ramadhan"

[ hadis riwayat Bukhari dan Muslim ]


rukun = tapak = batu asas


Penelitian kepada maksud hadis di atas, iaitu pada awal lafaz sabda Rasulullah saw "Islam DIDIRIKAN ATAS lima..", bukan "islam ITU lima..". Mengucap dua kalimah syahadah, solat, zakat, puasa Ramadhan dan haji hanyalah batu asas dalam agama Allah. Terbinanya di atas asas tersebut ialah bangunan Islam yang merangkumi keseluruhan hidup. Akhlak mulia, taat ibu bapa, menutup aurat, ukhuwwah islamiyyah, dakwah, dan jihad sebagai puncak tertinggi dalam binaan Islam, sebagai contoh.


Praktikal sebagai muslim memerlukan pemahaman segenap erti mengapa Islam diutuskan menyeluruhi kehidupan manusia, tanpa tertinggal satu aspek pun, termasuk sekecil-kecil perkara.


Sebagai muslim, masa-masa yang berlalu adalah petanda menghampiri kiamat kecil sebelum kiamat besar, iaitu mati. Maksud hikmah daripada Imam Hassan al-Banna,


"Kewajiban lebih banyak daripada masa yang ada"


Dalam menghadapi waktu kita yang semakin singkat, pendek dan tidak akan diulang, wajarkah kita sekadar membina batu asas Islam sahaja?


Andai kata kita berpeluang menyertai pertandingan melukis dalam masa yang ditetapkan, adakah kita hanya mengharapkan sagu hati? ataupun ingin menjuarai pertandingan sebagai johan? Fitrah kita akan mengatakan tidak kepada sagu hati, bahkan ingin mendapat tempat pertama dan akan membuat yang terbaik untuk menjadikannya realiti.


Hidup ini, ianya perlumbaan untuk mempertingkat dan memperbanyak amalan kerana Allah swt dalam masa yang terhad, sebelum maut menjemput. Maksud firman Allah swt,


" Kemudian Kitab (alQuran) itu kami wariskan kepada yang terpilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada (pula) yang lebih dahulu [berlumba] berbuat kebaikan* dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurnia yang besar" [ Faatir 35 : 32 ]


*3 golongan manusia di dalam perlumbaan hidup :


1/"menzalimi diri sendiri" ialah orang yang lebih banyak kesalahannya daripada kebaikannya,


2/"pertengahan" ialah orang yang sama kebaikannya dengan kesalahannya,


3/"orang yang lebih dahulu berbuat kebaikan" ialah orang-orang yang kebaikannya sangat banyak dan sangat jarang berbuat kesalahan.


Pilihan di tangan kita untuk menjadi orang yang biasa-biasa, atau orang yang luar biasa yang sentiasa menjuarai dalam mempersembah amalan kepada-Nya.


Maksud kata-kata Ibnu Taimiyyah tentang pengertian ibadah,


"Satu nama yang merangkumi setiap perkara yang disukai Allah dan diredhai-Nya, dari segi perbuatan dan perkataan"


Jadi, cantikkan bangunan Islam kita dengan praktikal yang menyeluruh dalam setiap perkara sebagai ibadah, dan tidak mensia-siakan apa yang dilakukan tanpa niat yang ikhlas kerana Allah..


wallahu a'lam..


Read more...